F Bakal pengantin maut kemalangan | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Bakal pengantin maut kemalangan

Hasrat seorang pemuda untuk mendirikan rumah tangga bersama pilihan hatinya dalam majlis perkahwinan yang dirancang dua minggu lagi tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Kilometer 270.5 Lebuhraya Utara- Selatan (Plus) arah Utara di sini, semalam.

Dalam kejadian kira- kira jam 8.45 pagi itu, mangsa, Mohd Rabbani Mohd Zahid, 28 menunggang motosikal jenis Yamaha LC dalam perjalanan dari Seremban menuju ke tempat kerja di Kumpulan Naza Group Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Paling menyedihkan, Mohd Rabbani meninggal dunia dua minggu sebelum majlis perkahwinannya dengan tunangnya, Rozanie Hashimi, 26 yang dijadualkan berlangsung pada 14 Ogos ini tatkala segala persiapan menyambut hari bahagia mereka sudah hampir selesai.

Kakak sulung kepada tunang mangsa, Rozie Hashimi, 39, berkata, berita mengenai kejadian menimpa Allahyarham sangat mengejutkan kerana baharu malam semalam (kelmarin) dia datang ke rumah keluarga di Balakong, Selangor.

“Memang jadi kebiasaan kepada arwah untuk singgah di rumah emak saya sebelum pulang ke Seremban dan dia sudah kami anggap sebagai ahli keluarga sendiri.

“Tiba-tiba pula dapat berita kehilangan Allahyarham, saya sendiri pun tak sangka.

"Persiapan majlis perkahwinannya dengan adik bongsu saya juga sudah siap 90 peratus,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Bilik Forensik di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) di sini.

Menurutnya, sepatutnya pada hari esok (hari ini) Allahyarham Mohd Rabbani mahu membawa adiknya membeli gelang tangan sebagai hantaran manakala perbincangan akhir keluarga kedua belah pihak akan diadakan pada hari Ahad.

Namun kata Rozie,  mereka reda kerana sebagai manusia hanya mampu merancang dan ALLAH yang menentukan segala-galanya.

“Adik saya sudah berkawan dengan Allahyarham sejak zaman belajar di Universiti Teknologi Mara lagi dan mereka bertunang pada November tahun lalu.

“Lama mereka berkawan dan bila sudah dekat ‘masanya’ dia pergi meninggalkan kami semua,” katanya.

Rozie turut menyifatkan Allahyarham Mohd Rabbani sebagai seorang adik yang baik, pandai bergurau selain menghormati orang tua.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Nilai, Superitendan Zaldino Zaludin berkata, kemalangan berlaku membabitkan motosikal ditunggang mangsa dengan sebuah kereta jenis Nissan Almera.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati apabila Nissan Almera yang berada di lorong paling kiri telah berlanggar dengan motosikal ditunggang mangsa yang datang dari arah belakang sebelah kanan.

“Akibatnya motosikal ditunggang mangsa telah terseret ke lorong kecemasan lalu melanggar pembahagi jalan sebelum kereta Nissan Almera mengherat pula mangsa ke hadapan,” katanya.

Menurutnya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami cedera parah pada bahagian kepala dan mayatnya telah dihantar ke HTJS  untuk tindakan lanjut.

Zaldino berkata, kes kemalangan terbabit disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Powered by Blogger.