F Azmil Karim Sudah 6 Tahun Tak Sambut 1 Syawal Dengan Keluarga | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Azmil Karim Sudah 6 Tahun Tak Sambut 1 Syawal Dengan Keluarga

Penyanyi Azmil Karim, 23, mengakui dia sentiasa menantikan peluang untuk balik ke kampung dan menyambut 1 Syawal bersama-sama keluarganya yang menetap di Tawau, Sabah.

Bagaimanapun, menurut juara Mentor Legend ini, sayangnya tahun ini dia masih tidak berkesempatan pulang ke kampung dan meraikan Aidilfitri kerana terikat dengan komitmen kerja.

"Tahun ini saya raya di Semenanjung kerana raya pertama saya bekerja. Saya ada persembahan sempena majlis rumah terbuka Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Kiranya, masuk tahun ini sudah 6 tahun saya tak dapat balik dan sambut 1 Syawal dengan keluarga.

"Tapi sebenarnya saya sudah biasa bekerja ketika hari raya cuma sekarang karier saya saja yang berubah. Dahulu ketika bekerja di Johor Bahru, saya juga jarang dapat peluang balik beraya keran terpaksa bekerja.

"Dulu sewaktu tahun pertama dan tahun kedua, kalau saya tak dapat balik kampung untuk beraya, ibu saya yang paling sedih. Tapi sekarang dia dan keluarga sudah biasa dan faham jika saya beritahu saya tak dapat pulang kerana terpaksa bekerja. Lagipun ada antaraadik beradik saya juga menetap dan ada yang juga beraya di Kuala Lumpur.

"InsyAllah, apabila karier saya sudah lebih satbil nanti, memang saya akan pastikan saya bercuti untuk sambut raya," katanya ketika di temui Malaysia Digest.

Kata pelantun lagu Tanpa Dia ini lagi, meskipun tidak dapat pulang beraya namun dia tidak lupa memperuntukkan wang perbelanjaan dan membelikan barang keperluan sebagai persiapan untuk keluarganya.

"Kadang-kadang saya balik lebih awal dan bantu mereka buat persiapan, belikan barang-barang keperluan. Saya juga ada kirimkan wang perbelanjaan kepada abang dan kakak saya di sana untuk membeli apa-apa yang patut," kata anak keenam dari tujuh beradik ini.

Sementara itu, selepas mempromosikan single berjudul Jam Lima, Azmil merancang untuk muncul dengan satu lagu baharu tidak lama lagi.
Powered by Blogger.