F Ayda Jebat tak mahu tamak | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Ayda Jebat tak mahu tamak

SEBUT sahaja nama Ayda Jebat, dari kanak-kanak sehingga dewasa, pasti mengenali gadis bertubuh genit ini.

Namun bak kata pepatah, kecil-kecil cili padi.

Biarpun kecil, namun pemilik nama sebenar Nur Suhada Jebat ini mempunyai bakat besar di dalam industri seni.

Meskipun ada yang memandang enteng kemampuannya, Ayda sudah membuktikan dia bukan bintang yang berlandas pada perkataan populariti semata-mata.

Namun di sebalik kejayaannya pada hari ini, akui gadis berusia 24 tahun ini, bukan mudah untuk dia berada pada tahap sekarang ini.

Justeru kata Ayda, dia amat menjaga kualiti dan penyokong kuat yang menyokongnya selama ini.

Bahkan jika ada yang memilih untuk membenci, dia sedaya upaya untuk memperbaiki diri dan kekurangan lain agar yang membenci itu menjadi penyokongnya.

“Saya sedar, bukan semua orang suka kita dan kita pun tak boleh buat semua orang suka kita.

“Tapi saya tidak pernah memandang sebelah mata orang yang tidak menyukai saya kerana orang sebegini dia nampak kelemahan dan kekurangan kita.

“Jadi kita perbaiki diri dan kelemahan atau kekurangan itu agar dia suka dengan kita. Bak pepatah Inggeris, ‘from haters to lover’,” katanya kepada Zass.

Namun di sebalik memperbaiki apa yang lemah, menjaga nama dan kerjaya, anak jati Melaka ini tidak pernah tamak membolot segala tawaran yang datang.

Jelas Ayda, dia sangat menjaga kualiti kerja agar orang lebih percaya kepadanya.

“Tak dinafikan, bila lebih banyak tawaran datang, lebih banyak duit kita akan dapat. Tapi saya sedaya upaya menolak sifat tamak di dalam diri.

“Bukan mudah untuk saya berada di mana tempat saya berdiri sekarang. Saya tidak mahu cepat puas dengan pencapaian pada hari ini.

“Sebab itulah, saya sangat menjaga kualiti kerja, biarlah saya fokus dengan satu kerja pada satu masa, asalkan saya dapat memberi komitmen dan fokus penuh pada satu kerja sahaja.

“Bila kita kerja bagus, automatik, orang akan percaya pada kita,” katanya yang kini menjadi duta bagi produk Gintell, Aura White, House Of Dre untuk wangian, Jakel-Arianni, H&M dan beberapa produk lain lagi.

Pentingkan anugerah

Di tanya adakah dia berpendapat sesuatu anugerah itu penting buat penggiat seni, ujar Ayda, dia melihat anugerah-anugerah itu penting untuk portfolio seseorang selebriti.

Katanya bukan untuk mengejar trofi semata-mata, sebaliknya anugerah tersebut adalah sebagai satu pengiktirafan dan tanda aras pencapaian seseorang selebriti itu.

“Saya melihat anugerah ini sebagai sijil kita di dalam bidang seni. Bila orang nak ambil kita bekerja, ada kalanya dia melihat profil kita.

“Jadi dengan adanya anugerah tertentu, ia menunjukkan sejauh mana tahap kerja seseorang selebriti itu.

“Ia juga secara tidak langsung menunjukkan sokongan penuh dari peminat buat kita,” jelasnya.

Rezeki mencurah

Dalam pada itu, berkongsi perkembangan terkininya, Ayda berkata, dia sangat teruja apabila muzik video rasmi, Pencuri Hati telah menjangkau 1 juta tontonan dalam masa seminggu.

Katanya, ia menjadi pendorong buatnya untuk menghasilkan single yang lebih baik lagi selepas ini.

“25 Julai ini saya akan ke New Zealand bagi menyelesaikan penggambaran filem Pinjamkan Hatiku bersama Farid Kamil.

“Balik dari sana, saya akan menjalani penggambaran drama bersama Sharnaaz berjudul Awak Sangat Nakal bagi siaran Astro Ria.

“Kemudian saya akan ke Jakarta untuk menyiapkan single ketiga saya yang saya harapkan akan mendapat sambutan lebih baik dari Pencuri Hati,” katanya yang melihat setiap tawaran lakonan yang datang kepadanya sebagai watak yang diidamkan.
Powered by Blogger.