F 5 minit lagi di Marmaris saya pasti dibunuh! | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

5 minit lagi di Marmaris saya pasti dibunuh!

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menolak sekeras-kerasnya dakwaan cubaan rampasan kuasa tentera yang berlaku di negara itu sebagai satu sandiwara.

“Bagaimana anda mahu merancang perkara ini? Bagaimana anda mahu membiarkan nyawa orang awam melayang? Bagaimana hati nurani manusia boleh membenarkan ini berlaku? Ini tidak mungkin.

“Erdogan dan rakan-rakannya, rakan sekerjanya akan menjadi orang pertama yang menolak idea seumpama ini. Kita membahayakan nyawa rakyat kita,” katanya ketika ditemu bual CNN antarabangsa, semalam lapor Anadolu.

Menurut Erdogan, mereka yang mencetuskan cubaan rampasan kuasa itu yang menimbulkan idea gila itu.

Erdogan memberitahu ketika serangan itu berlaku, beliau bersama isteri dan menantu serta cucunya sedang bercuti di Marmaris.

“Ada juga operasi mereka di Marmaris dan dua pengawal peribadi saya dibunuh. Jika saya tinggal di sana 10 hingga 15 minit sahaja lagi, saya pasti sudah dibunuh atau ditangkap,” katanya.

“Mendarat sahaja di Lapangan Terbang Istanbul Ataturk, pesawat pejuang 5-16 terbang di atas pesawat yang saya naiki,” ceritanya.

Seramai 208 orang disahkan terbunuh dengan 60 daripadanya anggota polis, tiga tentera serta 145 orang awam manakala 1,491 cedera dalam serangan tersebut.

Erdogan yang menuduh bekas sekutunya, Fethullah Gulen sebagai dalang di sebalik serangan itu berkata, beliau telah membangkitkan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama untuk membantu dalam ekstradisi Fethullah ke Turki.

“Saya telah buat permintaan itu kepada Obama secara lisan. Tapi minggu ini kami akan menulis secara rasmi kepada AS dan beberapa negara barat serta Afrika,” katanya.

Ketika ditanya kemungkinan Washington menolak untuk ekstradisi Fethullah, Erdogan berkata, pendirian itu akan tetap sama selagi beliau memimpin Turki.

“Jika tiada respons positif selepas permintaan dibuat secara formal... jika ada mana-mana individu dilihat sebagai penjenayah oleh AS dan mereka meminta untuk ekstradisi, sebagai Presiden negara ini, saya tidak akan benarkan.

“Walaupun Fethullah rakyat AS,  mereka tidak sepatutnya menyimpan pengganas seperti itu,” katanya.

Sebelum ini, Fethullah dilaporkan telah awal-awal menafikan dakwaan tersebut.

Sementara Setiausaha Negara AS, John Kerry dilaporkan berkata, Turki mesti mengemukakan bukti penglibatan Fethullah dalam serangan itu.
Powered by Blogger.