F TV AlHijrah perkenal Hijrah 7 Wonders | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

TV AlHijrah perkenal Hijrah 7 Wonders

DEMI mengukuhkan lagi kedudukan sebagai stesen televisyen Islam di negara ini, TV AlHijrah sentiasa berusaha menyediakan perkhidmatan yang mampu memenuhi cita rasa penonton setianya.

Atas dasar itu, stesen televisyen yang dikendalikan oleh Hijrah Media Corporations ini, terus mengorak langkah dengan melakukan beberapa penjenamaan semula.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izelan Basar memberitahu, penjenamaan semula itu dilakukan sejajar dengan kempen #IslamIsFirstClass yang dilancarkan, sejak April lalu.

"Insya-ALLAH, penjenamaan semula yang dilakukan ini bakal bersifat lebih berani dan hebat.

"Apa yang pasti, kita mahu menjangkau sasaran yang jauh lebih besar demi meningkatkan kesedaran umat Islam agar bersatu dalam mengembalikan semula kegemilangannya," katanya ketika ditemui pada Majlis Ramadan Screenings 2016, baru-baru ini.

Sehubungan itu, demi merealisasikannya, kata Izelan, TV AlHijrah memperkenalkan tujuh inisiatif terbaharu yang dikenali sebagai Hijrah 7 Wonders.

Jelasnya, ia merangkumi Siaran 24 Jam, Radio Hijrah.FM, Aplikasi Kongsi Berita, Pasukan Penerbitan Televisyen Wanita Pertama Di Negara, Penerbitan Hijrah Usahawan, Program CSR Bazar Ramadan dan Trak Makanan Bubur Lambuk.

Mengulas lanjut, Izelan mengakui setiap inisiatif itu membawa makna tersendiri.

"Kita sudah beroperasi 24 jam sejak 1 Jun lalu. Sudah tiba masanya, kita menjadi jaguh dunia apatah lagi sebagai stesen penyiaran bersandarkan ilmiah, banyak bahan baik boleh dikongsi bersama penonton.

"Bahkan, selepas enam tahun bertapak, kita juga mengorak langkah ke hadapan dengan menubuhkan stesen radio internet yang boleh diakses hingga ke seluruh dunia bermula hari ini (1 Ramadan).

"Kita juga akan membawakan Aplikasi Kongsi Berita bagi membolehkan masyarakat berkongsi berita terbaharu untuk tatapan penonton," katanya.

Tambahnya lagi, TV AlHijrah juga melihat peranan wanita sebagai aset bernilai dalam mengangkat kegemilangan Islam.

"Kerana itu, kita tampil dengan unit produksi muslimah. Penubuhan pasukan wanita ini bertujuan untuk meningkatkan imej wanita Islam selain menonjolkan fungsi sebenar mereka dalam membangunkan kecemerlangan masyarakat.

"Bukan itu sahaja, kita juga menerbitkan program, Hijrah Usahawan dengan menampilkan tokoh motivasi, Dr Azizan Osman sebagai peneraju utama rancangan, khas buat usahawan yang dahagakan ilmu," katanya.

Dalam pada itu, kata Izelan, dua inisiatif lagi diwujudkan sempena menyambut ketibaan Ramadan.

"Buat julung kalinya, kita menyediakan ruang iklan kepada pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS), pada Ramadan ini, menerusi Program CSR Bazar Ramadan. Kita akan mengenakan caj yang sangat minimum iaitu serendah RM2,500.

"Kita juga akan mengagihkan 3,000 bungkusan bubur lambuk dari Masjid Kampung Baru di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor dengan menggunakan 10 trak makanan, pada setiap hari, bermula 1 Jun lalu.

"Kedua-dua inisiatif ini merupakan satu usaha daripada kita untuk turun padang bertemu penonton setia," katanya.

Izelan berkata, pembaharuan dibuat itu bukan sahaja baik untuk penonton bahkan membantu meningkatkan sifat moral serta semangat kakitangan di stesen tersebut.

"Dalam bekerja, apa yang lebih penting dan harus menjadi asas adalah, bekerja hanya kerana ALLAH SWT. Mereka bukan bekerja untuk saya sebaliknya untuk ALLAH SWT. Itulah yang saya utamakan," katanya

Izelan yakin TV AlHijrah akan menjadi stesen televisyen Islam lebih bermutu dan terkenal di dunia, kelak.

"Sebab itu disebut Islam Is First Class. Kerana memang itu hakikat sebenar," katanya.

Saji program kerohanian

Sementara itu, TV AlHijrah menghidangkan pelbagai program kerohanian dan berilmiah sempena menyambut kedatangan bulan penuh keberkatan, Ramadan 1437H.

Kata Izelan, bertemakan Ramadan Bulan Kegembiraan, penonton diisi program bermutu daripada pelbagai genre seperti dokumentari, kerohanian, masakan dan travelog.

"Kita akan menyajikan program berbentuk kerohanian bagi bersama-sama menghidupkan pengisian penuh berilmu dan bermanfaat buat umat Islam, sepanjang 30 hari Ramadan.

"Kita merasakan, ia sangat sejajar dengan tema TV AlHijrah itu sendiri iaitu Penghijrahan Fenomena dan Islam Is First Class. Itu yang kita cuba terapkan kepada penonton," katanya.

Jelas Izelan, sebarang program berbentuk hiburan dan drama akan dihentikan seketika bagi menghormati Ramadan bermula 1 Jun.

"Pendek kata, kita tidak menyediakan hiburan sama ada dalam bentuk drama mahupun persembahan nasyid. Namun, ia akan kembali menjelang raya," katanya.

Antara program-program yang disusun ialah 30 Minit Bersama Ustaz Kazim Elias, Finding Him With Aliza Kim, Dokumentari Nuzul Quran: Halaqah Makassar, Ayat Riwayat Muhammad Utusan Terakhir: Palestin, Sirah Bumi Anbiya, Ziarah Cinta Di Bumi Uthmaniah, Lazeez Jiddan, Queen of the Deen dan Walk His Way.
Powered by Blogger.