F Tugasan Sejarah PT3 akan dikaji semula | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Tugasan Sejarah PT3 akan dikaji semula

Kementerian Pendidikan akan mengkaji semula arahan yang mewajibkan pelajar di sekitar ibu negara yang melaksanakan Tugasan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bagi subjek Sejarah untuk mendapatkan tandatangan di Jabatan Warisan Negara.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pihak kementerian akan berbincang dengan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) bagi melihat kewajaran perlunya mendapatkan tandatangan itu.

"Saya kena lihat balik semua hal berkaitan yang dibangkitkan oleh PIBGN (Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional) dan juga akan berbincang dengan LPM mengenai perkara itu.

"Ia termasuk juga panduan, termasuk juga jadual kajian Sejarah dibuat pada hujung minggu pertama selepas cuti sekolah. Itupun saya nak tengok baliklah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Iftar Bersama Warga Kementerian Pendidikan Daerah Padang Terap di sini, malam ini.

Sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan Presiden PIBGN Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan mendakwa arahan sedemikian tidak praktikal dan mungkin menyusahkan segelintir ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke jabatan itu.

Mohamad Ali berkata kaedah mendapatkan tandatangan itu bukan satu keperluan utama untuk kerja kursus memandangkan banyak lagi kaedah lain yang lebih sesuai untuk membantu mereka.

Mahdzir berkata, jika kementerian berpuas hati arahan mendapatkan tandatangan itu tidak perlu dilaksanakan, kaedah yang lebih sesuai mungkin akan diperkenalkan bagi kebaikan semua pihak.

Sementara itu, beliau berkata kementerian akan bertindak lebih tegas bagi memastikan makanan yang dijual di kantin sekolah mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Ini kerana ada kantin sekolah yang tidak mematuhi peraturan dengan menjual makanan yang memberikan kesan sampingan tidak baik terhadap kesihatan pelajar.

"Jika melanggar arahan, amaran dan tindakan akan diambil," katanya.
Powered by Blogger.