F 'Tangan putus, badan ada kesan tetakan' | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

'Tangan putus, badan ada kesan tetakan'


Seorang pengusaha kolam ikan hampir putus pergelangan tangan dan kaki kiri selepas diserang sekumpulan lelaki dalam satu kejadian di hadapan sebuah restoran di Jalan Oi Kar Seng di sini, awal pagi tadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Goh Kim Huat, 43, dari Taman Bukit Panchor dikatakan diserang empat lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang selepas turun dari kenderaannya.

Menurut sumber, sebelum kejadian mangsa pergi berjumpa dengan rakannya di kawasan Sungai Udang kira-kira jam 8 malam sebelum bergerak ke lokasi kejadian empat jam kemudian.

"Mangsa yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Iriz tiba dilokasi kejadian kira-kira jam 12.07 pagi dan sebaik dia turun dari kenderaanya dia terus diserang empat lelaki yang tidak dikenali itu.

"Akibat kejadian berkenaan, pergelangan tangan kiri mangsa putus dan kaki kirinya hampir putus akibat ditetak kumpulan terbabit selain terdapat kesan tetakan  di bahagian anggota badan lain,"katanya ketika dihubungi, di sini.  

Mangsa yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Sungai Bakap untuk mendapatkan rawatan dan dia kini dilaporkan tidak sedarkan diri.

Sementara itu, sumber berkata, siasatan awal polis mendapati kumpulan lelaki berkenaan yang terdiri daripada lima lelaki menaiki sebuah kereta jenis Proton Suprima.

Bagaimanapun ketika kejadian hanya empat daripada mereka turun untuk menyerang mangsa dan seorang lagi menunggu di dalam kereta.

"Selepas selesai menyerang mangsa, kesemua mereka bertindak melarikan diri," katanya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Shafee Abdul Samad ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, siasatan lanjut masih lagi diteruskan bagi mengetahui punca sebenar kejadian dan kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Powered by Blogger.