F Tak Serik Rugi, Sasar Kutipan Upin & Ipin Jeng Jeng Jeng RM20 Juta | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Tak Serik Rugi, Sasar Kutipan Upin & Ipin Jeng Jeng Jeng RM20 Juta

Meskipun percubaan pertama animasi live-action Upin & Ipin Jeng Jeng Jeng gagal namun penerbit Les' Copaque Productions tidak berputus asa untuk menghasilkan kali kedua filem tersebut dan dijangka bakal ditayangkan pada November depan.

Menurut Pengarah Urusan Les' Copaque, Burhanuddin Md Radzi, idea mahu menghasilkan filem berkenaan timbul sejak tahun 2013. Malah penggambarannya telah pun dijalankan dan filem tersebut sudah pun siap. Namun hasilnya terdapat banyak kelemahan. Justeru pihaknya terpaksa mengolah semula jalan cerita yang baharu.

"Idea mahu menghasilkan filem berkonsep live-action ini adalah daripada isteri saya, Hajah Ainon. Lagipun belum pernah ada lagi filem berkonsep sebegini dalam pembikinan filem tempatan. Pada 2013 penggambaran dijalankan. Namun setelah siap, hasilnya kami dapati terdapat banyak kelemahan dari segi teknikal dan akhirnya filem itu terpaksa dibuang dan kami terpaksa menanggung kerugian yang banyak.

"Bagaimanapun keyakinan kami memang tinggi memandangkan Upin & Ipin sudah menjadi satu jenama yang terkenal dan menjadi fenomena bukan saja kalangan penonton di tanah air malah di luar negara seperti di Indonesia. Jadi kami tetap mahu menghasilkan filem ini dan pada Oktober 2014, penggambaran dimulakan dan mengambil masa selama sebulan.

"Sekarang ini kami sedang menunggu giliran untuk filem ini ditayangkan dan kami harap ia dapat ditayangkan pada November nanti kerana bersesuaian dengan musim cuti persekolahan. Kami juga letakkan sasaran kutipan sekurang-kurangnya RM20 juta. Selain itu kami juga dalam perancangan untuk menayangkan filem ini ke Indonesia," katanya ketika ditemui pada sidang media Upin & Ipin Jeng Jeng Jeng, bertempat di hotel Aloft, pada Rabu.

Upin & Ipin Jeng Jeng Jeng diarahkan oleh pengarah tersohor, Erma Fatima bergandingan bersama Hajah Ainon Ariff yang merupakan pengarah Kandungan Kreatif Les Copaque Production.

Filem dengan usahasama Kru Studios serta Primeworks Distribution ini menampilkan barisan pelakon utama iaitu Asyiela Putri iaitu pemilik asal watak Upin & Ipin, Puteri Balqis, penyanyi Rock Awie, Sara Ali, Gambit Saifullah serta Remy Ishak

Sementara itu, mengenai pemilihan pengarah dan para pelakon, Ainon berkata, dia memilih Erma kerana kredibiliti wanita itu sebagai pengarah yang sudah banyak menghasilkan pelbagai karya drama dan filem yang bermutu. Selain itu, Erma dilihat sebagai figura yang mampu menarik perhatian kanak-kanak menerusi karyanya.

Manakala barisan pelakon pula, tambah Ainon, sejak awal skrip yang dihasilkan dia sudah membayangkan pelakon mana yang diigininnya yang bersesuaian dengan watak-watak dalam filem tersebut.

"Erma, selain kita tahu kredibiliti dan pengarahannya, beliau seorang yang saya lihat mudah didekati kanak-kanak. Saya bersyukur dapat bekerjasama dengan beliau.

"Barisan pelakon pula, misalnya Aqish (Puteri Balqis), dia sangat bagus cuma sekiranya lakonannya mempunyai kekurangan, mungkin kerana ini kali pertama dia berlakon live action. Manakala Awie, saya memang mahukan dia menjayakan salah satu watak dalam filem ini kerana ketika menulis skrip, saya memang membayangkan dia," jelasnya.

Filem yang menelan kos perbelanjaan sebanyak RM4 juta ini mencipta sejarah dalam industri perfileman tanah air dengan menggunakan teknik penerapan teknologi komputer grafik yang menggabungkan watak dan watak manusia. Sekaligus buat pertama kalinya watak kembar kesayangan ramai kanak-kanak itu muncul secara nyata dan berinteraksi dengan manusia.
Powered by Blogger.