F Tak sempat hadiri tadarus al-Quran | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Tak sempat hadiri tadarus al-Quran

Hasrat ketua Wanita Umno Cawangan Teluk Belanga menghadiri majlis tadarus al-Quran tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan ketika dalam perjalanan dari Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bernam Jaya, Pekan Sabak ke Dewan Seri Peladang Simpang Empat Bagan Nakhoda Omar, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa, Noraini Rahmat, 62, sebelum itu menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Parlimen Peringkat Dun Sungai Air Tawar di Pejabat Parlimen Simpang Empat Bagan Nakhoda Omar.

Anak mangsa, Halimatun Saadiah Roslan, 34, berkata, selesai majlis penyampaian sumbangan itu, arwah ibunya itu terus ke PPK Bernam Jaya kerana menyangka tadarus diadakan di pejabat itu, namun dimaklumkan majlis diadakan di Dewan Seri Peladang.

“Arwah meninggal ketika dalam perjalanan ke sana selepas terlibat kemalangan,” katanya kepada Sinar Harian.

Anak kedua dari tiga beradik itu berkata, dia sempat mengajak ibunya itu menumpangnya ketika ingin ke tempat kerja di sebuah taska, namun ibunya itu tetap ingin menunggang motosikal bersendirian.

“Saya tengok keadaan mak tak berapa sihat. Saya ajak dia tumpang ke sana, tapi dia tak nak. Saya sempat pesan supaya lepas habis program terus balik ke rumah.

“Kalau dikenang semula, memang saya tak sangka, itu adalah perbualan terakhir saya bersama arwah mak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dari arah Sungai Besar menuju ke Sungai Air Tawar hilang kawalan sebelum merempuh bahagian tengah berhampiran tayar belakang kanan sebuah lori.

“Lori terbabit membuat pusingan U, namun mangsa yang berada di belakangnya tak sempat mengelak lalu melanggar lori terbabit mengakibatkannya terjatuh dari motosikal,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2 petang.

“Hasil bedah siasat doktor mengesahkan mangsa maut akibat kecederaan serius di bahagian dada dan anggota dalaman,” katanya.

Nor Azmi berkata, pemandu lori berusia 30-an itu ditahan reman selama empat hari bermula kelmarin hingga hari ini.

“Hasil ujian air kencing terhadap pemandu lori mendapati lelaki itu bebas sebarang pengambilan barang terlarang,” katanya.
Powered by Blogger.