F Suspek tembak mati ditembak polis | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Suspek tembak mati ditembak polis


Seorang suspek utama kes tembak dua lelaki di Sunway Batu Caves minggu lepas, ditembak mati oleh polis di kawasan perumahan USJ 11/1D, di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, sebelum kejadian jam 12.10 tengah itu, polis mendapat maklumat orang awam mengenai kehadiran suspek dalam keadaan mencurigakan dalam kereta Proton Wira di kawasan itu.

Bagaimanapun, katanya, ketika polis memperkenalkan diri, suspek berusia 37 tahun itu cuba mengacukan pistol ke arah anggota menyebabkan polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan yang mengenai badan suspek.

"Hasil pemeriksaan, polis menjumpai sepucuk pistol jenis Glock beserta tiga butir peluru serta kereta yang digunakan suspek adalah kereta curi yang dilaporkan hilang di Kepong pada 12 Jun lepas," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Selain itu, katanya lelaki berkenaan turut mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan lima kes dadah, satu kes di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dan merupakan bekas tahanan di bawah Ordinan Darurat.

Abdul Rahim berkata, suspek turut dipercayai terbabit dalam lebih 12 kes samun bersenjata api di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

"Berhubung kes tembak di Batu Caves, polis percaya motif kejadian itu kerana mangsa telah memeras ugut suspek sebelum dia bertindak menembak kedua-dua mangsa," katanya

Katanya pihaknya sedang mengesan seorang lagi rakan suspek yang terlibat dalam kes tembak itu.

Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Pada 21 Jun lepas, dua lelaki cedera ditembak dari jarak dekat di persimpangan jalan besar Sunway Batu Caves, ketika sedang menunggu di persimpangan lampu isyarat.

Dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa berusia 30 dan 34 tahun yang memandu kereta berasingan, cedera di bahagian pipi dan kepala.
Powered by Blogger.