F Skandal seks Keeler dan Judy | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Skandal seks Keeler dan Judy

KINI tercetus satu skandal seks kepada seorang terkemuka yang mengingatkan saya kepada skandal seks Christine Keeler di London pada awal 1960-an. Keeler pada tahun 1961, ketika berusia 19, mempunyai beberapa orang kekasih yang terdiri daripada pembesar-pembesar British, pemimpin negara luar dan diplomat.

Wajahnya yang cantik pada badan yang lampai dan menarik memerikan kejadian berahi begitu.

Mula-mula Menteri Perang British bernama John Profumo terdedah. Kepanasan bertambah menyenggau apabila Presiden Pakistan Ayub Khan dan seorang diplomat Rusia terseret sama. Ia ibarat pulau ais. Mereka yang tidak diketahui jauh lebih ramai daripada mereka yang sudah ternampak di mata.

Ini membuatkan peletakan jawatan oleh Profumo tidak dapat dielakkan; diikuti oleh Perdana Menteri Harold Macmillan sendiri pada tahun 1963. Dengan kata-kata lain, sebuah kerajaan yang bertaraf kuasa besar dunia tumpas kerana gara-gara seorang ‘cewet panggilan’ (sebutan orang Indonesia untuk maksud ‘call girl’).

Di sini kini ada seorang yang bernama Judy (bukan nama sebenar). Ia terjumlah seorang yang menarik tetapi terdapat perbezaan berbanding dengan Keeler. Jika Keeler menggugat dari usia belasan hingga pertengahan 20-an, Judy sudah masuk usia 50-an. Penjagaan dan dandanan diri membuatkan Judy kelihatan lebih muda daripada usianya yang sebenar.

Kes perceraian yang dibawa ke mahkamah oleh suaminya, seorang pengamal undang-undang, dikatakan memalitkan seorang pembesar Malaysia, Datuk Seri Ali (bukan nama sebenar), mantan penjawat tinggi di peringkat negeri dan nasional. Maklumat dari sumber-sumber mengatakan bahawa suaminya itu dikahwini tidak berapa lama dulu; kini berusia dalam lingkungan 80.

Judy sudah lama menjanda – sejak bercerai dengan suaminya yang pertama. Namun begitu dia sentiasa mempunyai rakan lelaki pilihan yang dia boleh bersandar demi bisnes dan kemudahan hidupnya. Alasan kes perceraian itu, seperti yang sudah sedia tersebar, ialah adanya DS Ali di tengah-tengah kehidupan mereka.

Rujukan dibuat bahawa DS Ali menanggung Judy RM20,000 sebulan. Akhir-akhir ini DS Ali disebutkan sebagai membayar RM5 juta kepada Judy di Singapura.

Bagaikan segala itu belum cukup lagi, DS Ali dikatakan menolong mendapatkan sebuah kompleks kerajaan untuk dibangunkan semula oleh Judy dengan kemudahan-kemudahan baharu yang digenapkan dengan sebuah kondo besar yang mengandungi banyak unit.

Soal sama ada pembangunan semula projek ini akan diteruskan atau tidak menjadi satu tanda tanya sejak skandal ini membuak. Namun apa yang sudah pasti ialah kes ini, jika benar, akan menjejaskan DS Ali dengan teruknya seperti yang diuar-uarkan.

Rata-rata diketahui DS Ali sudah sedia menghadapi masalah politik yang besar. Tempelan masalah terakhir ini memungkinkan masalah politiknya menjadi tidak tertanggung dan mungkin tidak dapat dipulihkan lagi.

Sumber-sumber yang rapat dengan Judy menekankan bahawa Judy sentiasa berusaha mencari peluang  memperoleh wang dengan cara yang mudah. Antaranya Judy dikatakan berjaya mendapat sejumlah AP import kereta dari Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Antarabangsa melalui kerjasama pihak-pihak tertentu di kementerian itu. Kelumayanan pendapatan dari AP yang banyak itu dipercayai membolehkan beliau mendapat gelaran Datuk.

Jika sentuhan Christine Keeler lebih 50 tahun dulu menggelodakkan politik British dan melumpuhkan kerajaan yang ada, cakaran Judy boleh meranapkan politik DS Ali meskipun beliau kini  bukan seperti John Profumo; dan PM Najib bukan seperti PM Harold Macmillan.

Amalan budaya politik British menuntut Macmillan meletak jawatan atas asas yang disebutkan di atas – dan dia akur dengan tuntutan itu – tetapi bukan begitu di sini. Walaupun kita kurang bijak dalam teknologi terkini, kita amat bijak memilih apa yang baik untuk kita dari British, dan mengetepikan saja apa yang menyusahkan kita, biarpun ia terbukti baik di bumi bekas penjajah kita itu.
Powered by Blogger.