F Sisi matang Tasha Shila | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Sisi matang Tasha Shila

JIKA tahun lalu pelakon wanita ini dihujani pelbagai kontroversi namun dia berharap 2016 menjanjikan sesuatu yang lebih baik bagi diri dan kariernya.

Mengakui sengaja mendiamkan diri hampir setahun dalam dunia seni, aktres berusia 29 tahun ini bagaimanapun menjelaskan kehilangan sementaranya itu sekadar mahu meredakan kontroversi yang berlaku.

“Alhamdulillah, dugaan dan ujian yang dihadapi lebih mematangkan saya kini.

“Saya sebenarnya tidak pernah merajuk dengan dunia seni, tetapi sekadar mencari ruang untuk memastikan apa yang berlaku sebelum ini tidak berulang.

“Cukuplah saya katakan, sekarang saya lebih menghargai diri sendiri, keluarga dan kerjaya selepas apa yang terjadi,” kata empunya nama sebenar Natasha Sheila Abd Razak ini.

Lebih dikenali sebagai Tasha Shila di layar seni, sudah tiba masa baginya memberikan keutamaan kepada kariernya sahaja.

“Pengalaman mengajar saya menjadi orang baharu, jika sebelum ini peminat atau masyarakat lebih banyak melihat sisi peribadi saya, biarlah kali ini hanya kerjaya menjadi perhatian mereka pula,” kata pelakon drama bersiri Maaf Jika Aku Tak Sempurna ini.

Jelas Tasha, dia tidak pernah terfikir untuk mengundur diri daripada bergelar pelakon kerana minatnya dalam bidang seni masih menebal.

“Tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk meninggalkan bidang seni. Sementelah, jiwa lakonan itu sudah sebati dalam diri.

“Minat saya tidak mungkin terpadam dan hilang begitu sahaja, kecuali jika saya sudah tidak diperlukan lagi dalam industri,” katanya.

Tasha memberitahu, dia sangat berterima kasih kepada peminat yang masih setia menyokongnya.

“Kerana mereka saya masih bertahan dan terus tabah berhadapan kritikan serta komen negatif pihak-pihak yang tidak sukakan saya.

“Apa pun, saya jadikan kritikan serta komen negatif dilemparkan kepada saya sebagai pemangkin semangat.

“Ia juga mengingatkan saya supaya tidak tersalah percaturan lagi,” katanya berharap kerjaya sebagai pelakon lebih bersinar selepas ini.

Jadi Yang Terbaik

Tidak hanya itu, anak jati Ampang ini memasang impian menjadi pelakon yang lebih baik.

“Saya mahu komited dengan kerjaya kerana ia merupakan impian saya sejak dahulu lagi.

“Sia-sia sahaja jika saya mengambil mudah perkara ini, saya sudah nekad dan berjanji kepada diri untuk menjadi yang terbaik di kalangan yang terbaik dalam bidang ini,” katanya.

Pada masa sama, Tasha mengakui, dia agak memilih tawaran lakonan diberikan kepadanya sejak kembali aktif.

“Walaupun tawaran tidak banyak seperti sebelum ini, tetapi saya mahu ‘comeback’ ini membuka mata mereka akan kehadiran saya.

“Kerana itu saya mahukan watak yang lebih baik untuk membuktikan kepada mereka tentang kemampuan saya,” katanya.

Meskipun mendapat pelbagai komen tidak memberangsangkan sepanjang terlibat sebagai peserta program realiti nyanyian Gempak Superstar terbitan Astro baru-baru ini, akui Shila, dia menerimanya dengan terbuka kerana bidang nyanyian bukanlah kepakarannya.

“Saya sekadar mencuba dan suka-suka sahaja, apa kata mereka, saya tidak ambil hati," tambahnya.

Undangan Pertunjukan Fesyen

Dalam pada itu, Tasha juga ligat dengan undangan bagi pelbagai majlis fesyen sebagai salah satu punca rezeki utamanya.

“Alhamdulillah, rezeki sentiasa ada, adakala pendapatan di majlis berkenaan lebih banyak daripada berlakon.

“Ini kerana dalam sehari, ada dua atau tiga majlis yang saya terlibat,” katanya.

Berkongsi sisi peribadinya pula, kata Tasha, buat masa sekarang, dia lebih selesa dengan status solo.

Dia juga bersyukur kerana mendapat sokongan kuat daripada keluarga.

“Ibu tahu siapa saya yang sebenar. Apa yang penting bagi saya sekarang menjaga hatinya,” katanya.

Ditanya apakah masih terbuka pintu hatinya menerima insan bergelar lelaki dalam waktu terdekat, ujarnya, dia akan lebih berhati-hati mengenai perkara itu.

“2016 adalah permulaan baik dalam hidup saya dan saya mahu mengekalkannya.

“Jadi untuk mencari teman hidup juga, saya mahukan yang terbaik. Pengalaman banyak mengajar saya untuk lebih mengenali lelaki.

“Jadi, saya tidak mahu terkejar-kejar untuk mencari teman buat masa sekarang,” katanya.
Powered by Blogger.