F Selebriti Popular Berniaga di Mega Raya Eid 2016 | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Selebriti Popular Berniaga di Mega Raya Eid 2016

Pelopor bazar usahawan dalam talian iaitu Eh Eh Bazaar tampil menganjurkan karnival Mega Raya EID 2016 (MRE 2016) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini dengan menampilkan barisan artis popular yang turut menjual produk masing-masing.

Bazaar perniagaan yang bakal menghimpunkan kira-kira 160 usahawan pelbagai jenis produk atas talian itu akan diadakan pada 2 hingga 3 Julai ini bertempat di Pusat Konvensyen Mid Valley (MVEC), Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif Eh Eh Bazaar Holdings Sdn. Bhd, Iffah Zaimi berkata, MRE 2016 akan diserikan dengan kemunculan artis antaranya adalah Emma Maembong, En Mimpi, Khai, Rosma, Aiman Rahman, Siti Nordiana, DJ Lin Suria Cinta, Bienda, Hafreez Adam dan ramai lagi.

“MRE 2016 akan turut menampilkan artis dan selebriti yang tidak melepaskan peluang memperagakan produk jualan masing-masing.

"Selain pemilihan lokasi pameran bertaraf antarabangsa di Pusat Konvensyen Mid Valley, kita harap penglibatan artis akan menjadi tarikan besar kepada orang awam.

“Kami juga akan menyediakan pelbagai aktiviti pentas kepada pengunjung,'' katanya yang menjangkakan lebih 200,000 orang pengunjung akan membanjiri pameran perniagaan selama dua hari itu.

Eh Eh Bazaar Holdings (sebelum ini dikenali Eh Eh Bazaar Sdn, Bhd) merupakan penganjur acara Festival Mega Bazaar yang bermula pada tahun 2014 melalui kerjasama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Putrajaya dan Kolej Uniti yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia, Serdang (MAEPS), Selangor.

Iffah Zaimi berkata, matlamat Eh Eh Bazaar melalui penganjuran itu adalah untuk membantu usahawan Bumiputera bersaing dalam dunia perniagaan online yang semakin popular.

"Sebagai pelopor dalam penganjuran bazaar online, kami meneruskan usaha melalui platform yang sedia ada melalui promosi, penganjuran aktiviti dan kemudahan ruang perniagaan.

"Justeru MRE 2016 adalah peluang terbaik untuk usahawan online turun bertemu pelanggan secara offline semperna musim perayaan yang menjanjikan peluang perniagaan yang menguntungkan,'' katanya.

Beliau berkata, pameran perniagaan itu juga merupakan simbolik kepada peningkatan imej perniagaan bazar ke peringkat yang lebih tinggi sekaligus membuka peluang kepada lebih banyak potensi keusahawanan.

Sementara itu, MRE 2016 ini juga disokong oleh beberapa aktiviti yang menarik selain dari jualan produk usahawan online.

Antaranya adalah program kerjasama dengan TV Alhijrah untuk pengisian Ramadan seperti sesi tazkirah bersama-sama personaliti program ‘Assalamualaikum’, solat terawih berjemaah, selawat perdana dan pelbagai pengisian menarik sempena Ramadhan.

Dalam pada itu Iffah Zaimi berkata, Eh Eh Bazaar juga memberi peluang kepada Pusat Jagaan Budaya Harapan di Rawang, Selangor untuk sama-sama berniaga di festival berprestij itu.

"Kami harap orang ramai akan memberi sokongan kepada anak-anak yatim ini dengan membeli produk-produk yang dihasilkan mereka,'' katanya.
Powered by Blogger.