F Schawalara X Jakel, realisasi impian Awal Ashaari | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Schawalara X Jakel, realisasi impian Awal Ashaari

MELIHAT selebriti lain mempunyai koleksi dan jenama sendiri, mendorong pengacara, pelakon tinggi lampai, Awal Ashaari, 35, mengikut jejak langkah mereka.

Bagaimanapun impiannya itu tidak semudah disangka kerana apabila dia berdepan dengan pemborong yang meletakkan harga tinggi, namun kualiti kain tidak setimpal.

Dek kerana itu, Awal hampir melupakan hasrat tersebut.

Bagaimanapun, pertemuan dengan Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Feroz Mohamed Jakel awal tahun ini memberinya peluang merealisasikan impian untuk tampil dengan jenamanya sendiri.

Bercerita mengenai kolaborasi Schawalara X Jakel, Awal berkata, pada asalnya, dia mengusulkan untuk mengeluarkan koleksi baju Melayu sahaja.

"Umum sedia mengetahui bahawa Jakel sudah bekerjasama dengan beberapa selebriti tempatan seperti Zizan Razak, Aaron Aziz, Nabil dan mereka juga tampil dengan koleksi baju Melayu.

"Bagaimanapun, baju Melayu saya tampil dengan rekaan seperti baju Melayu dahulu dan tidak mempunyai rekaan hipster seperti kebanyakan baju Melayu sekarang.

"Saya masih mengekalkan rekaan seperti dahulu di mana lehernya tinggi, mempunyai poket dan potongan yang selesa.

"Jadi tidak timbul masalah rekaan saya sama seperti selebriti sedia ada kerana masing-masing tampil dengan ciri yang berlainan," katanya ketika ditemui media pada majlis pelancaran koleksi itu di Jakel Mall, baru-baru ini.

Tambah Awal, Feroz sendiri yang mencadangkan untuk mengabungkan isterinya, Scha Al-Yahya dan anaknya, Lara Alana dalam kolaborasi ini.

"Idea gabungan ini bukan saya yang usulkan tetapi Datuk sendiri yang mencadang. Jadi tidak timbul isu saya jual anak atau utamakan kroni kerana bagi saya ia sangat kasar.

"Saya anggap ini rezeki dan peluang buat kami untuk bekerjasama dan pada masa akan datang, jika ada lagi yang mahu kami bekerjasama dan jika bersesuaian, kami sedia mempertimbangkannya," jelas.

Ditanya mengenai inspirasi rekaan baju Melayu dan baju kurung ini, Awal berkata, pihak Jakel banyak membantu mereka dalam merealisasikan baju yang ingin dikeluarkan.

"Baju kurung moden inspirasi daripada Scha termasuk baju kanak-kanak diinspirasikan daripada Lara.

"Lebih menarik, kami juga akan tampil dengan rekaan jubah, yang turut mengekalkan rekaan klasik seperti jubah lama dan tidak mempunyai ciri hipster.

"Untuk permulaan setiap keluaran baju kurung moden yang mempunyai lebih daripada 50 rekaan hanya dikeluarkan sebanyak seratus unit sahaja dan ia eksklusif hanya di Jakel seluruh Malaysia,” katanya.

Kata Awal, untuk koleksi baju Melayu klasik miliknya Jakel menghasilkan 30 warna baju Melayu klasik termasuk 15 jubah manakala.

Tambah Awal, dia turut terlibat secara langsung dalam penghasilan jenama Schawalara bagi memastikan produk yang dijual berkualiti tinggi.

"Saya tidak bimbang dengan masalah kualiti kain kerana kita sedia maklum, Jakel mempunyai jenama yang besar dan dipercayai," ujarnya.



Tunai umrah

Selain sibuk dengan rangka promosi sepanjang Ramadan ini, Awal berkata, mereka sekeluarga akan menunaikan ibadah umrah pada pertengahan Ramadan ini.

Jelas Awal, impian ke Tanah Suci ini sudah lama dirancang, namun terpaksa ditangguhkan kerana komitmen kerja.

"Kalau ikutkan, saya sudah lama merancang untuk menunaikan umrah. Tapi setiap kali merancang mesti tidak jadi kerana kami terikat dengan jadual kerja yang padat.

"Tidak sangka, dalam kami cuba-cuba bertanya, ada slot kosong untuk kami, walaupun kita sedia maklum, umrah pada bulan puasa mendapat sambutan yang mengalakkan.

"Alhamdulillah tahun ini, perancangan kami dipermudahkan dan ibu bapa saya dan ibu mertua bersama anak dan pengasuh akan turut serta ke sana," katanya yang akan berada di sana bermula 12 hingga 22 Jun ini.
Powered by Blogger.