F 'Saya hadir kerana balas budi Pas' | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

'Saya hadir kerana balas budi Pas'


Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengulangi pendiriannya tidak mahu menyertai Pas atau mana-mana parti kerana masih menunggu keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung pemecatannya dari PKR.

Abdul Khalid berkata, beliau sedang menunggu keputusan rasmi ROS sama ada penyingkirannya daripada PKR mengikut peraturan ataupun tidak.

"Ini tak bermakna saya berminat untuk parti (PKR)..tetapi saya nak (ingin) satu keputusan untuk kepentingan diri saya,” katanya pada sidang media selepas membuat tinjauan mesra di premis perniagaan di Pekan Sungai Besar, di sini, hari ini.

Abdul Khalid sebelum ini dipecat daripada PKR berikutan keengganannya menyerahkan jawatan menteri besar kepada Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Ditanya tentang tindakannya yang seolah-olah menyokong kempen Pas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Abdul Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak menjelaskan, tindakannya itu sebagai satu usaha ‘membalas budi’.

“Semasa PRK Ijok (pada tahun 2007) saya tak kenal sesiapa pada masa itu. Tapi, rakan-rakan dari Pas di Ijok di seluruh Selangor datang membantu saya untuk kempen pilihan raya. Walaupun saya kalah, tapi saya sangat berterima kasih kepada mereka (Pas).

“Ini satu usaha bagi membalas budi mereka yang mana mereka juga telah bersama-sama saya semasa Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dan 2013. Alhamdulillah kita mencapai kemenangan,” katanya.

Katanya, tujuan utama beliau sebagai seorang ahli politik bebas adalah untuk bersama-sama membantu calon Pas, Dr Abdul Rani Osman yang bertanding bagi kerusi Parlimen itu.

“Itu sebab saya datang berjumpa dengan pengundi Tiong Hua yang mana saya ingin menyatakan kepada mereka walaupun Dr Rani ahli Pas, tapi dalam tata cara kerja beliau sepanjang menjadi Adun (Meru) dia tidak membezakan sesiapa, sama ada dia ahli Pas atau pun bukan ahli Pas.

“Oleh sebab itu, saya nak beritahu, bahawa Dr Rani akan membela sesiapa pun, walaupun dia dari parti Pas dia tidak memberikan kepentingan kepada parti tetapi kepada pertolongan yang boleh diberi kepada masyarakat,” katanya.

Ditanya peluang Pas untuk memenangi PRK Parlimen itu, Abdul Khalid yang juga Adun Pelabuhan Klang menjelaskan pertandingan kali ini jauh lebih sengit meskipun Pas hanya tewas dengan majority kecil pada PRU-13 lalu.

“Saya rasa pertandingan sengit sebab sekarang ada (pertandingan) tiga penjuru. Saya percaya  Pas perlu bekerja keras  bagi memenangi PRK Parlimen ini,” katanya.
Powered by Blogger.