F Rossa Terkejut Peminat Datang Rumah Mahu Melamarnya | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Rossa Terkejut Peminat Datang Rumah Mahu Melamarnya

Penyanyi terkenal kelahiran Seberang, Datuk Rossa, mendedahkan seorang peminat lelaki telah datang ke rumah ibu bapanya di Sumedang, Indonesia, kerana ingin melamarnya sebagai isteri.

Rossa atau nama lengkapnya, Sri Rossa Roslaina Handayani, 37, ketika ditemui baru-baru ini berkata, pada mulanya ibu bapanya menyangka kedatangan peminat tersebut kerana mahu meminta pekerjaan memandangkan Rossa ada menjalankan perniagaan pusat karaoke di sekitar Indonesia.

"Ada peminat datang ke rumah saya dan pada mulanya papa saya sangkakan dia mahu meminta pekerjaan. Sebaliknya dia dengan berani menyatakan hasrat mahu meminang saya.

"Ketika itu saya sedang berada di Jakarta. Papa menelefon saya dan apabila dia memberitahu saya perkara tersebut, saya terkejut kerana saya tidak kenal dengan orang itu. Kemudian saya tertawa... saya katakan pada papa "ada-ada saja sih peminat itu"

"Ini kali pertama saya dilamar oleh pemuda yang saya sendiri tidak kenal. Lucu. Tapi papa saya menolak lamaran tersebut," ceritanya ketika ditemui pada majlis Berbuka Puasa bertempat di hotel Seri Pasific, Kuala Lumpur.

Rossa berkunjung ke tanah air sempena pelancaran jenama wagiannya, Eau De Parfum by Rossa, yang diadakan di Festival Raya Terbesar Asia 2016, Mood Republik yang berlangsung di PWTC minggu lalu.

Dalam pada itu, pelantun lagu hits Ayat-Ayat Cinta ini mengakui hubungannya dengan kekasihnya kini semakin baik.

Namun dia dan teman lelakinya yang juga merupakan ahli perniagaan itu belum membuat keputusan untuk mengakhiri hubungan mereka ke jinjang pelamin.

"Masih dan hubungan kami semakin lancar sejak kami kenal tiga tahun lalu. Dia seorang yang memahami saya tapi kami belum putuskan untuk bernikah," tuturnya ringkas dan enggan bercerita lanjut mengenai kekasihnya.

Sementara itu, keakraban hubungan antara Rossa dan Afgan memang sudah diketahui ramai sehingga timbul dakwaan mengatakan mereka bercinta. Begitu pun, kedua bintang ini masing-masing menafikan dakwaan tersebut sebaliknya menyifatkan mereka adalah teman rapat.

Kata Rossa, seperkara yang membuatkan dia berasa lucu kerana kekasihnya juga pernah bertanyakan kepada Afgan, sejauh mana kebenaran gosip berkenaan.

"Dia saling kenal dan baik dengan Afgan. Malah, pernah ketika bertemu Afgan dia berkata, "kamu bercinta sama Rossa, ya?," tuturnya.

Terdahulu, Rossa pernah mendirikan rumah tangga bersama pemain drum kumpulan Padi iaitu Yoyo sebelum bercerai 14 Julai 2009. Hasil
perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Rizky Langit Ramadhan yang kini berusia 9 tahun.

Berkongsi mengenai Eau De Parfum by Rossa pula, ibu anak satu ini berkata, idea untuk mengeluarkan produk wangian tercetus selepas banyak orang yang bertanyakan wagian apa yang selalu dipakainya.

"Selama ini ramai yang bertanyakan saya pakai perfume apa dan mereka ikut membeli perfume itu. Jadi saya fikir elok juga kalau saya keluarkan wangian sendiri sekaligus ini juga sebagai hadiah paling istimewa saya untuk peminat.

"Produk ini sangat dekat dengan saya kerana sejak dari awal proses seperti memilih bauan hingga ke rekaan botol, semuanya saya yang pilih sendiri.

"Untuk mendapatkan bauan yang saya inginkan, dalam sehari saya membau lebih kurang 50 jenis bauan dan saya lakukan proses itu selama tiga bulan dan akhirnya saya dapat tiga bauan istimewa ini," katanya.

Eau De Parfum by Rossa menawarkan tiga pilihan wangian iaitu Lahfah, Beautiful dan La Vi En yang dijual dengan harga RM48 sebotol.
Powered by Blogger.