F Restoran Gulung Tikar, Nik Michael Dapat Tarawih Sepanjang Ramadan | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Restoran Gulung Tikar, Nik Michael Dapat Tarawih Sepanjang Ramadan

Baru sahaja mendirikan rumah tangga dengan si manis pilihan hati, Siti Nadiah Shahril sejak enam bulan lalu, kehidupan Nik cef selebriti Nik Michael Imran kini sedang berada dalam fasa bahagia.

Pun begitu, lumrah hidup manusia tidak pernah lari daripada ujian. Pada bulan Februari lalu, restoran miliknya, Picnik, yang beroperasi di Publika, Kuala Lumpur sejak tiga tahun lalu terpaksa ditutup.

"Alhamdulillah, selepas enam bulan berkahwin, saya dan isteri masih menyesuaikan diri dengan kehidupan rumah tangga.

"Sebenarnya, perbezaan paling besar untuk saya Ramadan tahun ini bukanlah kerana sudah berkahwin, tetapi kerana restoran saya, Picnik di Publika sudah ditutup dan saya boleh menunaikan solat Tarawih pada tahun ini.

"Saya tidak dapat menunaikannya pada tahun-tahun sebelum ini kerana sangat sibuk menguruskan restoran," katanya seperti yang dilaporkan Kosmo.

Menganggap setiap yang berlaku mempunyai hikmah, Nik bagaimanapun memberitahu Ramadan tahun ini dia berazam untuk menunaikan solat tarawih kerana tidak terikat dengan komitmen restoran lagi.

"Picnik ditutup pada bulan Februari lalu kerana kedatangan pengunjung yang tidak berapa memberangsangkan.

"Boleh dikatakan hampir 80 peratus pelanggan yang datang ke restoran saya adalah pengunjung tetap dan kebiasaannya mereka cuma datang sekali dalam seminggu.

"Daripada saya terpaksa membayar kos yang tinggi, jadi saya mengambil keputusan untuk menutupnya dan fokus terhadap perniagaan katering juga di bawah nama Picnik. Katering ialah perniagaan utama saya sejak dari dahulu," katanya yang turut memberitahu dia kini dalam perancangan untuk membuka sebuah restoran baharu pada pertengahan Ramadan ini.

Selain itu dia bakal muncul menerusi program Kuih Raya Nik Michael yang akan bersiaran mulai 24 Jun di saluran Tvi, RTM.
Powered by Blogger.