F Pengundi Sungai Besar akan pilih BN atau Amanah | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Pengundi Sungai Besar akan pilih BN atau Amanah

Pakatan Harapan mendakwa hasil beberapa tinjauan terhadap pengundi menyaksikan mereka memilih sama ada BN atau Parti Amanah Negara (Amanah) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kawasan Parlimen Sungai Besar, 18 Jun ini.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, persaingan sengit sedang berlaku antara BN dan Amanah, manakala Pas jauh di belakang.

“Oleh itu, setiap undi untuk Pas adalah undi yang dipersia-siakan kerana tidak mungkin undi untuk Pas akan menyumbang ke arah mengalahkan BN,” katanya pada Sidang Media di Pejabat Amanah Sungai Besar.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, kemenangan Pakatan Harapan di Parlimen itu boleh tercapai sekiranya semua undi pembangkang dapat ditumpukan kepada calon Pakatan Harapan yang diwakili Amanah.

Beliau turut mempersoalkan sikap dan pendirian Pas terhadap BN yang dilihat tidak konsisten sama ada parti itu ingin menjalin kerjasama dengan BN atau pun sebaliknya.

“Kenyataan (Ketua Pemuda Pas) Nik Abduh (Aziz Nik Abdul Aziz) adalah bukti sikap berdolak-dalik ini. Atas sikap berdolak-dalik ini Pakatan Harapan meminta pengundi untuk lupakan Pas pada PRK ini,” katanya.

Beliau memberitahu, PRK Kawasan Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar memberi peluang untuk rakyat menzahirkan kemarahan mereka terhadap pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Keputusan dua pilihan raya kecil ini tidak akan ada kesan terhadap kedudukan BN sebagai kerajaan di Putrajaya. Najib perlu diberitahu bahawa rakyat sedang marah dengan dasar-dasar kerajaan yang membebankan rakyat.

“Maka kekalahan calon Najib dan calon (Datin Seri) Rosmah (Mansor) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar akan menyebabkan Najib dan pentadbirannya memikirkan kembali dasar-dasar menindas rakyat yang telah dan sedang mereka laksanakan,” katanya.

Beliau menegaskan, kemenangan BN dianggap sebagai ‘lampu hijau’ kepada pentadbiran Najib terus membudayakan penyelewengan dan rasuah kerana mereka tetap mendapat sokongan daripada rakyat.

“Jika mereka menang, kita bimbang mereka akan merumuskan bahawa rakyat tetap menyokong BN walau apa cara mereka lakukan kepada rakyat,” katanya.

Ditanya tentang kenyataan Nik Abduh yang menyindir parti yang diandaikan seperti ‘gila talak’, Khalid menjelaskan Pas mesti cermin diri terlebih dahulu dan mereka tidak seharusnya menyalahkan Amanah dalam perkara berkenaan.

“Kalau sekiranya wujud tanggapan bahawa Pas bekerjasama dengan Umno itu bukanlah salah kami. Kenapa tanggapan itu wujud, cermin diri.

“Kenyataan-kenyataan mereka ini memberikan gambaran seolah-olah begitu..kita tak cakap apa-apa,” katanya.
Powered by Blogger.