F Pemecatan boleh buat 3 negeri tergugat? | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Pemecatan boleh buat 3 negeri tergugat?

Pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta penggantungan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal daripada Umno, bukan satu langkah bijak oleh Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana dikhuatiri boleh menjejaskan kubu kuat parti di Johor, Kedah dan Sabah.

Penganalisis politik Institut Darul Ehsan (IDE), Prof Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, insiden itu memberi kelebihan kepada pakatan pembangkang yang pada PRU13 lalu, berjaya menembusi kubu kuat Umno dengan memenangi beberapa kerusi.

“Sudah pasti dengan tiadanya Muhyiddin, ia akan beri kesan kepada politik Johor, khusus dari segi sokongan.

Mukhriz sendiri dalam politik Kedah, umum merasakan dia diturunkan secara tidak demokratik oleh Najib. Apabila Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang mengalami masalah kesihatan dinaikkan di Kedah, sudah pasti ia memberikan imej dan reputasi buruk kepada Umno.

“Keadaan sama bila Umno gantung keahlian Mohd Shafie Sabah adalah benteng kuat Umno. Beliau antara tokoh kuat dalam kalangan masyarakat pantai timur Sabah dan ada pengaruh besar,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau menjangkakan insiden itu mengundang bantahan di kalangan ahli dan pimpinan semua peringkat dalam Umno, sama ada secara terbuka ataupun senyap menjelang pemilihan parti atau PRU14.

“Umno ini, bila dia nak protes boleh buat secara terus, kadang-kala dilakukan secara senyap. Mungkin dia hampa dan kecewa dengan apa yang berlaku. Kali ini lebih kepada protes senyap yang lebih bahaya daripada protes terbuka.

“Kalau protes senyap dibuat masa pilihan raya nanti, ia akan beri kesan kepada keputusan Umno ,” katanya. Beliau turut tidak menolak kemungkinan keputusan itu dibuat selepas BN mendapat kemenangan besar dalam PRK kawasan Parlimen Sungai
Besar dan Kuala Kangsar serta Pilihan Raya Negeri Sarawak.
Powered by Blogger.