F MBJB roboh rumah 30 bilik | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

MBJB roboh rumah 30 bilik

Mengejutkan apabila sebuah bangunan dua tingkat yang diubah suai menjadi tiga tingkat didapati mempunyai 30 bilik.

Namun, sikap degil pemilik premis mengubah struktur asal bangunan berkenaan akhirnya menerima padah apabila ia dirobohkan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dalam operasi, semalam.

Bangunan yang terletak di Jalan Seri Pelangi 2, Taman Pelangi, di sini, pada asalnya adalah kediaman dua tingkat dan telah diberi penegasan serta notis sejak dua tahun lalu.

Datuk Bandar MBJB, A Rahim Nin berkata, selain mengubah reka bentuk asal bangunan, pemilik juga turut melakukan pengubahsuaian dalaman dengan membuat sekatan hingga menjadi 30 bilik di bangunan tiga tingkat itu.

Menurutnya, sebelum tindakan diambil oleh pihak MBJB, satu notis amaran telah diberikan pada 10 September 2014 supaya mengemukakan pelan terlebih dahulu sebelum sebarang pembinaan dilakukan.

“Selepas diberi notis, pemilik tampil mengajukan pelan kepada pihak kami tetapi tidak dapat diluluskan kerana pelan bangunan berkenaan tidak mematuhi syarat, malah dia juga telah membina bangunan yang tidak mematuhi Undang-undang Kecil Bangunan Seragam Negeri Johor 1986.

“Selain itu, bangunan tersebut yang pada asalnya hanya bersaiz 30 x 80 telah dibesarkan sehingga mengambil sebahagian daripada tanah rizab milik MBJB,” katanya, di sini.

Beliau berkata, pemilik premis terbabit sebelum ini telah didakwa mengikut Seksyen 70 (1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan didenda RM3,000 atas kesalahan dilakukan.

“Pemilik sebelum ini telah didapati bersalah pada 17 Februari lalu dan dikenakan denda berserta perintah termesti untuk meruntuhkan bangunan tersebut dalam tempoh tiga bulan iaitu sehingga 16 Mei ini.

“Namun, pemilik tetap berdegil tidak mahu merobohkan bangunan meskipun tempoh diberikan sudah tamat, malah masih meneruskan kerja pembinaan,” katanya.

A Rahim berkata, kegagalan pemilik mematuhi perintah dikeluarkan menyebabkan pihaknya tidak teragak-agak mengeluarkan notis memasuki premis di bawah Seksyen 97, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta terus merobohkan bangunan tersebut.

“Pihak kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemilik premis yang tidak mematuhi syarat ditetapkan, lebih-lebih lagi kepada yang masih berdegil meskipun telah diberikan pelbagai amaran dan notis.

“Kami juga mempertingkatkan usaha memantau dan mengesan bangunan yang tidak mendapat kelulusan. Kami akan kenakan tindakan kepada mereka yang melanggar peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Untuk rekod, difahamkan  2015 sahaja, 15 perintah meruntuhkan bangunan telah dikeluarkan, manakala operasi semalam adalah perintah pertama dikeluarkan tahun ini.
Powered by Blogger.