F Lokasi air terjun baharu ditemui | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Lokasi air terjun baharu ditemui

Sebuah lokasi baharu air terjun ditemui di kawasan kaki Gunung Benum, di sini yang terletak lima kilometer dari Kampung Pamah Rawas.

Pengerusi Kelab Pencinta Alam Gunung Benum Ulu Dong, Ahmad Fidaus Mohd Zaki berkata, air terjun itu ditemui ketika pendakian belia Kampung Pamah Rawas di Gunung Benum.

“Air terjun di sini sangat menarik kerana terbentuk melalui aliran sungai bawah tanah yang mengalir di celah batu.

“Kemudian, ia akan mengalir semula mengikut aliran ke dalam tanah sejauh 300 meter dan terus mengalir ke sungai,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pamah Rawas, Ahmad Jantan berkata, penemuan air terjun di kawasan kampung itu sesuatu yang tidak disangka.

Menurutnya, hasil perbincangan bersama penduduk di kawasan itu, mereka bersepakat menamakan air terjun berkenaan Pawang Sidek.

“Ini bagi mengingati sejarah pembukaan Kampung Pamah Rawas oleh seorang yang sangat dikenali iaitu Sidek Abu atau lebih dikenali sebagai Pawang Sidek.

“Beliau sering menjadikan kawasan itu sebagai tempat persinggahan untuk mencari hasil hutan,” katanya.

Beliau berkata, kawasan air terjun Pawang Sidek berpotensi dimajukan sekali gus boleh menjana ekonomi penduduk di kampung ini sekiranya ia dapat direalisasikan sebagai tempat rekreasi dan pelancongan.

“Buat masa sekarang, JKKK telah membuat permohonan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Raub dan kami harap ia akan diluluskan untuk dijadikan tempat rekreasi daerah ini selain Lata Lembik, Lata Jarum, Jeram Besu dan Lembah Temir.

Difahamkan, air terjun yang dikatakan terletak dalam kawasan tanah rizab Kerajaan Negeri Pahang dan berhampiran Hutan Simpan Ulu Dong itu bakal menjadi destinasi pelancongan menarik di daerah ini sekiranya permohonan JKKK Pamah Rawas diluluskan.
Powered by Blogger.