F Lagu raya 2016: Pelbagai genre, pikat pendengar | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Lagu raya 2016: Pelbagai genre, pikat pendengar

AIDILFITRI tanpa lagu raya, seperti makan lemang tanpa rendang. Ada raya, tiada serinya. Kerana itulah, saban tahun komposer-komposer ini akan melahirkan lagu raya mengikut alunan muzik semasa.

Biarpun ramai yang masih suka kepada lagu-lagu malar segar, tetapi lagu baharu akan memberikan sentuhan berbeza kepada industri seni hiburan tempatan.

Lagu-lagu raya moden juga tidak kurang hebatnya malah ia turut memiliki keistimewaannya yang tersendiri dalam memeriahkan suasana hari raya.

Ramai penyanyi beranggapan, inilah hadiah teristimewa kepada peminat sempena Aidilfitri. Jika bukan setiap tahun, sekurang-kurangnya ada sebuah lagu yang menjadi kenangan.

Kumpulan Sepahtu turut menyumbangkan lagu raya tahun ini. Lagu berjudul Raya Sedondon mendapat sentuhan magis daripada Datuk M.Nasir manakala liriknya ditulis sendiri oleh Sepahtu sendiri bersama Ilya Buang.

Lagu ini berentak ‘catchy’ ini dan mampu memberi perasaan ceria kepada pendengarnya. Siapa sangka, kumpulan lawak ini juga mampu melontarkan vokal dengan baik dan tidak hairanlah kelebihan itu juga telah menambat hati M.Nasir untuk membawa mereka bernaung di bawah label Luncai Emas.

Bintang-bintang dangdut tempatan turut menyerikan raya tahun ini dengan lagu Dangdut Lebaran. Menggabungkan 18 bintang dangdut tanah air, lagu ini cukup unik sentuhan komposer Pak Ngah dan lirik oleh Siso.

Antara penyanyi yang terlibat adalah Ifa Raziah, Ani Mayuni, Ieda Moin, Haiza, Sheeda, Tushee, Salwa Abdul Rahman, Ayati Tasrip dan ramai lagi.

Biarpun berlainan genre, namun lagu raya ini juga tetap memberi kebahagiaan buat pendengarnya.

Shuib dari Sepahtu turut berkolaborasi dengan Mark Adam untuk lagu hari raya Indahnya Lebaran. Lagu ini dicipta khas untuk iklan hari raya Bank Rakyat.

Azlan & The Typewriter turut tidak ketinggalan dalam memeriahkan lebaran tahun ini dengan lagu raya Hari Raya Di Surabaya. Sudah pasti, lagu ini mempunyai kaitan menyambut lebaran bukan di tanah air sendiri.

Datuk Fazley yang selama ini banyak menghabiskan masa di dapur juga tidak mahu melepaskan peluang merakamkan lagu Aidilfitri tahun ini. Beliau yang sebelum ini pernah juga merakamkan lagu raya berjudul Seribu Kemaafan kini muncul dengan lagu baharunya Ku Mohon Maaf Sayang.

Bintang yang semakin bersinar selepas program Gegar Vaganza, Fazli Zainal dan Haiza berduet dengan lagu Ini Baru Raya. Sudah pasti lagu ini akan memberikan kelainan memandangkan kedua-dua penyanyi ini mempunyai nada suara yang sangat berlainan.

Band Monalisa juga antara bintang baharu yang tampil lagu raya Bila Ku Beraya. Inilah detik indah buat mereka apabila menambahkan satu lagi koleksi lagu mereka yang diharap akan diperdengarkan setiap kali menjelangnya Aidilfitri.

Kumpulan-kumpulan nasyid juga turut berkolaborasi mendendangkan lagu Aidilfitri. Dengan judul Tahmid Lebaran, kumpulan Hijjaz, Raihan, In-Team, Rabbani, Far East serta gabungan bersama Lah Ahmad, lagu ini sudah pasti menambahkan seri tahun ini.

Tidak hanya lagu baharu, malah ada antara penyanyi yang memberikan nafas baharu kepada lagu raya sedia ada.

Penyanyi kelahiran Brunei, Aziz Harun buat julung kalinya melancarkan sebuah lagu medley raya yang bertajuk ‘Satu Hari Di Hari Raya & Selamat Hari Raya’ yang merupakan lagu asal nyanyian M Nasir dan juga Biduanita Negara iaitu Allahyarhamah Saloma.

Lagu medley ini telah diubahsuai dan dinyanyikan di dalam versi akustik dan lagu ini sememangnya mampu menghiburkan setiap pendengarnya.

Pastinya, banyak lagi rangkaian lagu-lagu raya untuk tahun ini daripada penyanyi tempatan yang akan menambah lagi keceriaan sambutan lebaran tahun ini.
Powered by Blogger.