F KL dan Selangor dilanda hujan batu | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

KL dan Selangor dilanda hujan batu

Hujan lebat serta ribut selama lebih sejam melanda di ibu negara petang tadi mengakibatkan beberapa kawasan terjejas apabila berlaku banjir kilat dan pokok tumbang.

Pegawai Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani, berkata, pihaknya menerima sebanyak 45 laporan kejadian pokok tumbang antaranya di Jalan Telawi, Jalan Pantai Bharu dan Jalan Klang Lama.

"Salah satu lokasi di Jalan Sri Hartamas, pokok tumbang menghempap pondok pengawal.

"Pasukan penyelamat bersama anggota petugas skuad penyelamat  DBKL  telah digerakkan ke lokasi sebaik menerima laporan kira-kira jam 6 petang," katanya.

Dalam pada itu, antara kawasan terjejas banjir kilat adalah Jalan Duta susur ke  Jalan Semantan, menghala ke Pusat, Jalan Khidmat Usaha, Jalan Kemuja (persimpangan Jalan Bangsar), Jalan Pantai Bharu, Taman Melati, Jalan Kelapa Muda, Jalan Batu Muda Tambahan, Jalan Bangsar, Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (Sungai Besi) dan Taman Segar.

Bagaimanapun air dilaporkan mula surut kira-kira jam 7.30 malam tadi.

Kejadian ribut itu turut menyebabkan sebuah rumah di Batu 4, Jalan Klang Lama terjejas apabila sebahagian bumbung tercabut namun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Mustafa Mohd. Nor berkata, seramai 80 pasukan Skuad Penyelamat DBKL ke semua lokasi tumpuan yang terjejas dengan banjir kilat.

"Daripada jumlah tersebut 50 orang petugas trafik dikerah untuk mengawal keadaan trafik, 18 orang untuk menyelamat mangsa yang terkandas manakala 12 orang ditugaskan untuk kren tunda," katanya.
Powered by Blogger.