F Kita Da'i: Gabungan kolaborasi penyanyi nasyid popular | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Kita Da'i: Gabungan kolaborasi penyanyi nasyid popular

SEDAR atau tidak, perjalanan kerjaya kumpulan nasyid UNIC, InTeam dan Mestica telah mencecah lebih satu dekad.

Tidak hanya pernah berkongsi pengurusan yang sama iaitu Hijjaz Records, ketiga-tiga kumpulan ini juga pernah menyemarakkan industri muzik nasyid dengan menampilkan album serta lagu-lagu secara kolaborasi ketika di awal kemunculan mereka.

Kali terakhir tampil menerusi album Nur Muhammad pada 2010, kini mereka kembali mengimbau semula kemeriahan itu dengan mempertaruhkan lagu Kita Da’i yang dicipta oleh Bazli dari UNIC dan liriknya ditulis Ahmad Fedtri Yahya.

“Pada awalnya, lagu ini dirancang untuk dijadikan sebagai single terbaru UNIC untuk 2016. Tetapi apabila difikirkan kenapa tidak kita hidupkan semula kemeriahan dunia nasyid seperti sebelum ini dengan gabungan kumpulan nasyid yang ada, tambahan pula ia menjadi platform untuk kami kembali bersama dalam projek khas ini.

“Alhamdulillah, akhirnya kita dapat menghubungi sahabat-sahabat seperjuangan yang lain untuk mewakili kumpulan mereka berkolaborasi menerusi lagu ini. Terhasillah Kita Da’i,” jelas Bazli.

Kita Da’i menampilkan nyanyian kumpulan UNIC dengan kolaborasi bersama Hazamin (InTeam), Razin (Mestica), Hafiz Hamidun dan Suhaimi Saad.

Mengulas lanjut, Fakhrul (UNIC) berkata, kolaborasi itu juga diwujudkan bersesuaian dengan mesej yang diselitkan dalam lagu tersebut.

“Kita Da’i membawa maksud kita pendakwah dan melihatkan tajuk itu serta kandungan liriknya, kami rasakan lagu ini akan lebih bagus dan berkesan jika ia disampaikan secara beramai-ramai.

“Semua orang boleh menjadi pendakwah mengikut cara tersendiri asalkan mesej yang disampaikan adalah perkara yang baik. Lagi pun lagu ini menerapkan konsep kempen yang berterusan. Bunyinya macam berat tapi sebenarnya ia perkara yang mudah,” katanya.

Lagu tersebut yang dirakam awal Mei lalu akan dilancarkan 1 Ramadan ini dan ia boleh didapati menerusi pasaran digital Spotify dan iTunes.

Seni Islam

Masyarakat Islam hari ini semakin cenderung dan berminat mempelajari perihal agama secara mendalam dan ia memberi kesan terhadap perkembangan positif industri muzik nasyid.

Memberi pandangan mengenai hal itu, Suhaimi tidak menafikan perkembangan industri nasyid yang turun naik sejak beberapa tahun ini.

“Mudah-mudahan penglibatan kami ini juga akan mengangkat semula martabat nyanyian nasyid.

“Alhamdulillah, lagu-lagu nasyid dan ketuhanan kini masih lagi ada tempat dan ia juga terbukti dari segi jualannya di pasaran di mana nasyid antara yang mendapat sambutan berbanding genre lain,” katanya.

Turut memberi pendapat, Razin mengakui dari segi muzik pula, nasyid juga harus mengikuti perkembangan semasa.

“Kalau kita lihat nasyid dulu dan sekarang, memang ada perubahan mengikut arus semasa sebab bila berdakwah kita haruslah kreatif untuk menarik masyarakat. Jika kita ketinggalan, tidak ada sesiapa yang berminat sekaligus mesej yang diselitkan dalam lagu juga tidak sampai.

“Pendekatan lagu ini lebih moden di mana saya sendiri tampilkan nyanyian rap dan itu secara tidak langsung dapat menarik minat golongan muda," katanya.

Tambahnya, lagu nasyid tidak sepatutnya dikelaskan dalam irama padang pasir semata-mata.

“Kita kena faham nasyid adalah seni nyanyian dalam Islam dan ia bersifat global. Tidak ada istilah genre muzik Islam.

"Nasyid adalah seni nyanyian yang boleh disampaikan menerusi pelbagai genre tapi pada masa sama ia tetap pertahankan asasnya iaitu irama taranum al-Quran dan juga barisan lirik yang penuh dengan mesej berguna. Sebab itulah kita lihat penyanyi nasyid rata-ratanya memiliki kepakaran dalam pembacaan al-Quran dan sebagainya.

“Inilah yang kita sentiasa pertahankan, kami yang mungkin berpengalaman dalam industri ini cuba menasihatkan kepada bakat-bakat baharu yang sertai bidang ini untuk mempertahankan elemen asas itu,” katanya.
Powered by Blogger.