F Ketua Pesuruhjaya SPRM letak jawatan Ogos ini? | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Ketua Pesuruhjaya SPRM letak jawatan Ogos ini?

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dilaporkan akan bersara awal pada Ogos ini.

Menurut sumber, Abu Kassim, 56, tidak meneruskan khidmat sebagai ketua pesuruhjaya walaupun kontrak beliau sepatutnya tamat pada 2018.

Manakala persaraan wajib beliau daripada perkhidmatan awam adalah pada tahun 2020.

"Abu Kassim dijangka membuat pengumuman hari ini," kata sumber itu.

Bagaimanapun sumber berkenaan tidak menyebut punca Abu Kassim  berbuat demikian.

Sebelum ini pernah timbul desas-desus Abu Kassim akan diganti atas masalah kesihatan.

Spekulasi beliau akan diganti sekali lagi timbul selepas agensi itu menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara berhubung derma RM2.6 bilion dan SRC International.

Namun, SPRM mengeluarkan kenyataan menafikan perkara itu bahawa Abu Kassim ‘tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak’ dan hanya akan berundur atas keputusannya sendiri.

Abu Kassim pernah menegaskan bahawa siasatan suruhanjaya terhadap dua kes tersebut telah dijalankan secara bebas dan menyifatkan siasatan berkenaan sebagai “dua kes yang paling mencabar dalam kerjaya beliau.”

Sementara itu Abu Kassim ketika dihubungi enggan mengulas lanjut, sebaliknya akan membuat kenyataan media esok.

Beliau juga mengakui sudah pulih sepenuhnya daripada pembedahan yang dijalankan sebelum ini.

Abu Kassim memulakan kariernya sebagai seorang Pegawai Penyiasat di Badan Pencegah Rasuah (BPR) Malaysia pada tahun 1984.

Pada tahun 2007, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (1) SPRM sebelum dilantik ke jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM mulai 1 Januari 2010.

Beliau yang telah berkhidmat di SPRM lebih 30 tahun juga merupakan Naib Presiden International Association of Anti-Corruption Authorities (IAACA).
Powered by Blogger.