F 'Kawan tetap kawan, namun lawan tetap lawan' | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

'Kawan tetap kawan, namun lawan tetap lawan'

Ahli Parlimen Kapar, G Manivanan mengesahkan akan berkempen menentang calon Pas, Dr Abdul Rani Osman yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar.

Manivanan berkata, meskipun pada mulanya ahli Parlimen PKR itu tersepit dengan situasi tersebut, beliau akhirnya memilih untuk mengutamakan prinsip perjuangan parti yang didukung selama ini.

“Tidak begitu sukar untuk menentang kepimpinan Abdul Rani, tetapi cukup melukakan hati saya apabila terpaksa menentang beliau dan akar umbi Pas.

“Ini adalah satu keputusan yang sukar untuk dibuat tetapi ia merupakan keputusan yang sangat diperlukan buat masa sekarang,” katanya menerusi sebaran surat terbuka dituju kepada Abdul Rani, hari ini.

Katanya lagi, meskipun terpaksa berdepan dan menentang rakannya sendiri pada PRK kali ini, beliau masih tidak melupakan jasa yang ditabur oleh Pas dan Abdul Rani.

“Saya masih ingat, bagaimana Abdul Rani dan akar umbi Pas di Meru (termasuk Sementa dan Selat Klang) membantu dan membimbing saya kepada kemenangan indah pada PRU13.

“Saya ingat, setiap kali kami bertemu, kami berjabat tangan, berpeluk dan juga berbisik ke telinga masing-masing. Itu kebiasaan dalam hubungan dan persahabatan saya dengan Abdul Rani.

"Malangnya, ini adalah perjuangan tiga penjuru, dengan itu, atas nama PKR dan Pakatan Harapan, saya bukan sahaja menentang BN tetapi Abdul Rani juga,” katanya lagi.

PRK Parlimen Sungai Besar pada 18 Jun ini bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN iaitu Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi‎; calon Dr Abdul Rani dan Azhar Abdul Shukur daripada parti Amanah, yang mewakili Pakatan Harapan.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.
Powered by Blogger.