F Kaulah Dia taruhan terbaharu Caliph Buskers | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Kaulah Dia taruhan terbaharu Caliph Buskers

PENAMPILAN pertama Caliph Buskers pada Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-29 tidak hanya terhenti di situ apabila single pertamanya Hanya Namamu berjaya mengulang kembali kejayaan mereka di pentas penuh berprestij itu.

Lebih membanggakan, percubaan mereka itu turut membawa tuah apabila nyanyian mereka berjaya dinobatkan sebagai pemenang tempat ke tiga.

Perjalanan itu dilihat sebagai permulaan yang baik buat Caliph Buskers untuk terus memperjuangkan muzik mereka di pasaran arus perdana.

Bercerita mengenai perkembangan terbaharu, kumpulan yang dianggotai oleh Azmi, Zaki, Fendy, Nirwan dan Rubiana ini telah pun tampil dengan single kedua Kaulah Dia hasil ciptaan sepenuhnya Edry Abd Halim.

“Alhamdulillah, kami sudah lancarkan single kedua ini yang bagi kami amat berbeza dengan single pertama.

“Biasanya bila orang dengar kami menyanyi, mereka akan rasa sedih dan kalau boleh kami tidak mahu terus seperti itu.

“Jadi, kami dan Edry sendiri berbincang untuk tampil dengan sesuatu yang lebih berbeza. Kaulah Dia ini adalah lagu cinta yang romantis,” kata vokalisnya, Azmi kepada Zass, baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai single tersebut, Azmi memberitahu biarpun single terbaharu itu lari daripada konsep ketuhanan yang dibawakan sebelum ini, namun lagu baharu itu masih memiliki unsur nasihat.

“Sebenarnya Kaulah Dia ini juga boleh diterima sebagai nasihat.

“Kalau kita lihat ramai pasangan yang sudah berumah tangga tidak terbuka dan untuk meluahkan rasa sayang kepada pasangan mereka terutamanya kepada golongan lelaki.

“Mungkin dengan lagu ini mereka akan terbuka untuk lebih terbuka untuk saling meluahkan raya sayang sekaligus mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan itu,” ujarnya sambil tersenyum.

Sentiasa bersama

Ikatan persahabatan yang terjalin antara mereka bukanlah baharu.

Mengakui tidak lari daripada ‘pergelutan’ antara satu sama lain, Caliph Buskers percaya perkara sebegitu menguatkan lagi persahabatan antara mereka.

“Kami sendiri tidak pernah menyangka perjalanan kami sehingga ke tahap ini. Kami masih lagi bersama sehingga hari ini dan kalau boleh sampai bila-bila.

“Sebagai sebuah kumpulan, memang tidak dinafikan akan ada salah faham yang timbul antara kami kerana itulah adat berkumpulan,” kata mereka.

Sepanjang sesi fotografi, ada sahaja keletah mereka yang mencuit hati.

“Tapi apa yang paling penting kita perlu saling hormat menghormati dan bertolak ansur supaya ia menjadi lebih mudah.

“Lagi pun sudah banyak cabaran yang kami harungi bersama jadi perkara kecil seperti itu tidak harus diperbesarkan,” katanya.
Powered by Blogger.