F Dayang Nurfaizah impi hero klip video dari luar negara | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Dayang Nurfaizah impi hero klip video dari luar negara

Penyanyi Dayang Nurfaizah berkongsi cerita bahawa setiap kali bakal menjelang Hari Raya Aidilfitri, antara perkara yang akan diutamakan ialah persiapan baju raya kedua orang tuanya dan anak-anak buahnya.

"Ramadan ini seperti biasa sibuk dengan memenuhi jemputan persembahan dan juga program berbuka puasa bersama peminat dan juga anak-anak yatim. Sebenarnya setiap kali tibanya Ramadan dan Syawal tak ada yang dinantikan sangat, melainkan saya memang akan membuat persiapan awal untuk baju-baju raya.

"Anak buah saya tak ramai manapun, ada empat orang sahaja, tapi bila saya belikan mereka persiapan baju raya selalunya akan terlebih. Mungkin sebab saya sukakan kanak-kanak dan teruja berjumpa dengan mereka setelah lama tidak berjumpa. Biasalah, jarang juga balik ke Kuching sebab sibuk dengan kerja di Kuala Lumpur," jelas Dayang ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Indigital.

Menyentuh mengenai single terbaru berjudul Lelaki Teragung pula, jelas bintang vokal terbaik itu, lirik lagu itu tidak ada kena mengena dengan kehidupan solonya. Namun, lebih kepada cerita umum.

"Pada awalnya saya agak terkejut apabila menerima lirik lagu itu dan terus terfikir siapakah Lelaki Teragung saya? Kemudian setelah diceritakan maksud lirik itu barulah saya faham. Bagi kefahaman saya pula lebih kepada seorang anak dan bapa.

"Lirik itu menceritakan pasangan yang sedang bercinta ataupun sepasang suami dan isteri. Lelaki tersebut mencintai wanita itu namun cinta lelaki itu tidak dibalas, bagaimanapun lelaki itu tetap bersabar.

"Lagu ini agak berat sebab bermain dengan emosi, jadi saya rujuk lagu Rapuh dendangan Agnes Monica untuk dijadikan inspirasi. Video muzik masih lagi dalam perbincangan dan saya pula mengimpikan hero dalam video muzik itu nanti kalau boleh nak dari luar negara," ujarnya seloroh.


Powered by Blogger.