F Dato' Seri penuh kejutan | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Dato' Seri penuh kejutan

TEATER Dato’ Seri baharu sahaja melabuhkan tirainya selepas dipentaskan di Pentas 2, Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC) bermula 1 hingga 5 Jun kelmarin dibawakan The Actors Studio Seni Teater Rakyat mendapat sambutan hebat daripada peminat seni teater.

Diadaptasi daripada karya klasik Shakespeare, Macbeth, teater sentuhan pengarah Omar Ali bersama bapanya, Tan Sri Muhammad Ali Hashim yang bertindak sebagai penulis skrip, teater ini berkisar mengenai seorang bangsawan yang tamak dan mengejar takhta sehingga sanggup mengkhianati pemimpin atau rajanya sendiri.

Menariknya, pementasan tersebut cukup hebat direalisasikan menerusi sentuhan pelakon-pelakonnya seperti Radhi Khalid, Safia Hanifah, Na’a Murad dan Redza Minhat.

Di sebalik kesempurnaan setiap pelakon membawakan watak masing-masing, Safia Hanifah yang memainkan peranan Datin Seri atau Lady Macbeth wajar dipuji.

Ini kerana bahasa badan dan lenggok suaranya cukup menonjol menerusi pementasan itu.

Meskipun tampil sebagai wanita Melayu yang penuh sopan di era 1960-an, dengan riak wajahnya yang bersahaja di awal pementasan, siapa sangka, sebenarnya dialah insan bertanggungjawab mempengaruhi Dato’ Seri atau Macbeth mengkhianati raja mereka.

Hasutan demi hasutan yang lahir daripada mulutnya begitu menusuk jiwa audiens yang menyaksikan pementasan teater itu.

Sifat jahat dalam dirinya juga berjaya diserlahkan tanpa perlu melakukan perkara sedemikian di hadapan penonton.

Kerana itu, Safia dilihat sebagai kekuatan kepada perjalanan kisah tersebut. Berlakon di samping pelakon hebat Radhi Khalid, Safia antara bintang yang menyerlah sepanjang pementasan.

Dalam pada itu, lakonan Radhi Khalid tidak kurang hebatnya. Umum mengetahui kehebatan Radhi yang sememangnya 'pakar' dalam setiap watak yang dibawakan. Berilah apa sahaja bentuk watak, Radhi tidak akan menghampakan. Dia berjaya menyampaikan watak Dato’ Seri dengan baik dan berkesan.

Begitu juga pelakon-pelakon lain yang hanya dipertanggungjawabkan menjadi pelakon pembantu, masing-masing memberikan yang terbaik sehingga plot yang diterapkan berjaya difahami penonton.

Antara pelakon-pelakon yang menjayakan teater ini adalah Ashraff Zain, Ho Lee Ching, Yusuf Amin, Aiman Asmawar dan Megat Sharizal.

Penampilan khas Datuk Faridah Merican juga perlu diberikan perhatian. Penampilan istimewa beliau dalam naskhah berbahasa Melayu, Faridah cukup hebat.

Tampil sebagai bomoh menerusi teater ini, karakternya yang muncul sekali sekala bersama dua pembantunya menjadi tarikan hebat kepada teater itu.

Tidak perlu menjadi wanita cantik sahaja untuk memastikan penglibatannya menjadi tumpuan.

Selain itu, meskipun hanya menggunakan prop ringkas tetapi gambaran berada di era 1960-an dapat disampaikan dengan baik.

Ditambah pula dengan tayangan visual laporan berita yang membuatkan penonton berasa seperti berada di era tersebut.

Babak antara babak yang disusun juga penuh dengan kejutan, di luar dugaan atau pemikiran penonton, padat dan tidak terlalu lama sehingga membosankan penonton.

Tidak terikat dengan plot terlalu serius, beberapa adegan lucu turut diselitkan sebagai hiburan.

Mesej yang hendak dipaparkan juga sampai kepada penonton sama ada diutarakan secara tersirat atau tersurat.

Secara keseluruhan, aspek lakonan, penguasaan pentas, audio dan pencahayaan pementasan ini berjalan dengan lancar dan tidak rugi menonton teater yang sarat dengan sifat kerakusan serta perjuangan manusia ini.

Powered by Blogger.