F Dakwah cara Mizz Nina | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Dakwah cara Mizz Nina

KEHADIRAN Ramadan adalah saat-saat yang sering dinantikan oleh seluruh umat Islam sedunia.

Tidak hanya merasai kemanisan menjalani ibadah puasa, malah umat Islam turut tidak melepaskan peluang untuk menggandakan amal kebaikan.

Terus istiqamah dengan kerja-kerja amal yang dilakukan, Mizz Nina juga antara yang tidak melepaskan saat ini bagi melakukan amal kebajikan lebih-lebih lagi kepada mereka yang memerlukan di samping melakukan tanggungjawab sebagai muslim.

“Insya-ALLAH, Ramadan ini saya akan lebih sibuk daripada biasa di mana saya bersama teman-teman akan mengadakan satu aktiviti amal untuk membantu mereka yang memerlukan. Antara yang akan bersama saya adalah seperti jenama produk Adania dan komuniti Feeding The Needy.

“Kami akan mengedarkan keperluan seperti kain pelikat, telekung dan sejadah kepada golongan miskin dan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur.

“Saya berharap dengan pertolongan ini dapat membantu mereka yang memerlukan,” katanya ketika ditemui pada sidang media pelantikannya sebagai duta produk Adania, baru-baru ini.

Mizz Nina atau nama sebenarnya Syazrina Azman turut meluaskan kerja dakwahnya menerusi penerbitan beberapa program berbentuk kerohanian yang bakal disajikan kepada penonton menerusi siaran TV Alhijrah sepanjang Ramadan ini.

Antara program terbitan DopsTV miliknya adalah Walk His Way, Queen Of The Deen dan Finding Him.

“Selain memberi fokus kepada penyiaran televisyen, kami turut menyiarkannya di YouTube supaya ia mendapat penerimaan yang lebih meluas ke serata dunia.

“Saya tidak menafikan permintaan untuk program Islamik seperti ini semakin mendapat perhatian bukan hanya di Malaysia tapi juga di peringkat antarabangsa.

“Saya mengharapkan, program seperti ini dapat memberi inspirasi kepada mereka untuk lebih mendalami Islam dan itulah misi utama kami,” katanya.

Beralih ke puisi

Tidak hanya fokus kepada kerja-kerja amal menerusi misi kemanusiaan dan penerbitan program Islamik, kini isteri kepada penyanyi Noh Salleh ini turut menceburi bidang penulisan dan nyanyian puisi untuk menyebarkan dakwah.

Mizz Nina yang juga selesa dengan bidang baharu itu, mengakui masih banyak perkara yang perlu diperbaikinya.

“Bagi saya, puisi adalah seni hebat untuk menyampaikan mesej dan sekarang saya mulai berjinak-jinak dalam bidang ini.

“Insya-ALLAH ia juga akan menjadi projek saya tahun ini yang mana karya-karya puisi tulisan saya sendiri akan dibukukan serta dijual dalam bentuk album .

“Sebagai orang baharu dalam bidang ini, saya akui ia amat mencabar namun kerana minat saya akan cuba yang terbaik.

“Kebanyakannya mengenai perjalanan saya sendiri mengenai perubahan dan kesilapan yang pernah saya lakukan sebelum ini,” ujarnya tersenyum.

Bercakap mengenai pelantikannya sebagai duta Adania, Mizz Nina yakin dengan keberkesanan produk tersebut dan kerana itu dia bersetuju dengan tawaran tersebut.

“Sebelum ini, ada beberapa produk yang menawarkan saya untuk menjadi duta, tetapi saya kurang yakin tidak sama seperti Adania.

“Saya sendiri adalah pengguna produk ini dan keberkesanannya memang terbukti dalam penjagaan kulit saya.

“Kita ada satu lagi kolaborasi di mana Adania akan tampil lagi rangkaian produk inspirasi daripada saya sendiri dan ia akan dilancarkan selepas Aidilfitri nanti,” jelasnya sebelum mengakhiri perbualan.
Powered by Blogger.