F Bila Artis Balik Kampung Beraya, garapan graduan Aswara | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Bila Artis Balik Kampung Beraya, garapan graduan Aswara

KESEMPURNAAN penggambaran telefilem dihasilkan oleh sesebuah produksi bergantung kepada kesungguhan komitmen mereka yang bekerja di belakang tabir selain pelakon.

Bagaimanapun jika ada tenaga kru baharu, mereka pasti diberikan peranan kecil dalam menjayakan sesebuah telefilem itu.

Namun berbeza dengan The R&D Studio yang membuka peluang dan memberi kepercayaan kepada muka baharu untuk mengendalikan sebuah penggambaran melibatkan peranan penting hingga kecil menerusi karya, Bila Artis Balik Kampung Beraya.

Pengarah telefilem berkenaan, Muhammad Fadly Ishak atau lebih dikenali dengan nama Paly Ishak berkata, kebanyakan kru yang terlibat dalam penggambaran telefilem ini adalah graduan dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

“Saya sendiri merupakan graduan Fakulti Filem Aswara dan kebanyakan kru kami juga graduan Aswara. Walaupun ada di antara kami masih baru, namun pihak penerbit memberi kepercayaan kepada kami untuk menyiapkan telefilem ini. Bahkan ketika penggambaran, pelakon juga terkejut melihat ramai kru yang masih muda.

“Alhamdulillah walaupun ada di antara kami belum  banyak pengalaman, namun kami berjaya siapkan telefilem ini tanpa masalah,” ujarnya kepada Zass.

Mengimbau kembali pembikinan telefilem ini, Paly berkata, mereka menjalani penggambaran selama lapan hari di Teluk Mukat, Sabak Bernam.

Katanya, sepanjang penggambaran, penduduk kampung memberi 100 peratus komitmen dan bantuan serta menunjukkan tempat menarik bagi menjalani penggambaran.

“Lokasi penggambaran agak jauh ke dalam dan talian telefon memang susah. Jadi, secara tidak langsung membuatkan kru, pelakon dan penduduk kampung akrab kerana tiada sesiapa yang leka dengan telefon bimbit.

“Malah ketika penggambaran, semua menepati masa kerana susah untuk berhubung antara satu sama lain disebabkan tidak mendapat liputan talian,” katanya.

Berkongsi keistimewaan mengenai telefilem yang menyaksikan gandingan Remy Ishak bersama Risteena Munim ini, Paly berkata, telefilem ini membawakan cerita yang santai dan menghiburkan. Tetapi dalam masa yang sama sarat dengan mesej.

“Telefilem ini mengangkat tema kekeluargaan dan persaudaraan serta menggalakkan sifat saling hormat-menghormati, saling menyokong antara satu sama lain dan saling bermaaf-maafan,” katanya.

Bila Artis Balik Kampung Beraya mengisahkan Arman Johari (Remy) seorang pelakon terkenal di Malaysia, telah diperangkap dengan isu khalwat oleh Baq, pengurusnya sendiri apabila berdendam dengan perangai diva Arman. Baq juga telah songlap harta dan duit Arman sehingga dia jatuh muflis.

Apabila pelbagai produksi memulaukan Arman, dia terpaksa mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halaman untuk menenangkan keadaannya sementara peguam dan pihak polis menyiasat kesnya.

Setelah pulang ke Kampung Bayangan Gurauan, Arman disambut meriah oleh para penduduk kerana popularitinya sebagai pelakon terkenal. Arman cuba untuk menyembunyikan rahsia tentang isu kontroversinya bagi menjaga hati penduduk kampung dan keluarganya.

Semasa di kampung, pelbagai cara Arman lakukan untuk menyembunyikan kisah kontroversinya dan tiba-tiba jatuh hati kepada Watie (Risteena Munim).

Namun suatu hari, satu peristiwa berlaku di kampung sehingga rahsia Arman diketahui. Apa akan berlaku seterusnya? Saksikan telefilem ini pada 11 Julai, jam 2 petang di saluran Astro Prima dan Maya HD.
Powered by Blogger.