F Belum Terfikir Cari Pengganti | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Belum Terfikir Cari Pengganti

Selepas hampir dua tahun menggalas status ibu tunggal, pelakon Sari Yanti berkata, dia belum terfikir untuk mencari pengganti kerana selesa dengan keadaan sekarang.

Memetik laporan Harian Metro, dia kini sibuk memberi tumpuan pada kerjaya dan membesarkan anak-anaknya.

“Mungkin kerana sibuk bekerja dan membesarkan anak membuatkan saya tidak terfikir mencari pengganti.

“Lagipun dalam keadaan sekarang, saya tidak pasti adakah bersedia mendirikan rumah tangga semula. Pun begitu, saya tidak menolak andai ada yang ingin berkenalan.

“Bagi saya, biarlah jodoh hadir dengan sendirinya. Saya serahkan segala-galanya kepada Yang Maha Esa.

“Buat masa ini, perkahwinan bukanlah prioriti kerana saya pernah laluinya sebelum ini. Fokus utama saya kini adalah untuk menghabiskan masa dengan membesarkan anak,” katanya.

Biarpun pelakon yang popular menerusi drama Kisah Kaisara itu belum bersedia menerima cinta baru, dia mengakui ada ketika dirinya terasa sunyi.

“Siapa yang tidak sunyi apabila hidup bersendirian? Pernah juga terlintas di hati bilakah saya akan berkahwin selepas melihat kawan-kawan mendirikan rumah tangga.

“Apa-apa pun, saya percaya detik itu akan sampai juga. Lagipun, bukankah soal jodoh rahsia Tuhan?,” katanya.

Terdahulu, pelakon berusia 31 tahun ini mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Mohd Edy Casmadi Che Hussain pada 16 Januari 2009 namun berakhir dengan perceraian pada 17 Disember 2014. Hasil perkahwinan, dikurniakan dua zuriat Barr Al-Aliy, 6, dan Basit Al-Haq, 4.

Sementara itu, beritahu Sari lagi, selain kini sibuk menjalani penggambaran, Ramadan kali ini sangat mencabar untuknya kerana mahu mendidik putera sulungnya berpuasa.

“Saya mahu mengajar anak sulung berpuasa memandangkan usianya sudah mencecah enam tahun. Setakat ini dia nampak teruja mahu sama-sama berpuasa dengan saya," katanya.

Sari bakal muncul menerusi program Pendidikan Islam Kanak-Kanak, I-Kids dan drama terbaru berjudul Lip Lap Raya yang ditayangkan di HpppTV.
Powered by Blogger.