F Akim, Stacy duta baharu KitKat | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Akim, Stacy duta baharu KitKat

BAHARU tiga bulan mendirikan rumah tangga, pasangan selebriti Akim dan Stacy menerima ‘hadiah’ bermakna dari Nestlé (Malaysia) Berhad apabila diumumkan sebagai duta baharu, juga dikenali sebagai ‘breakers’  bagi Nestlé KitKat Malaysia.

Tidak hanya pengumuman sebagai duta, malah Nestlé turut melancarkan iklan TV terbaharu yang cukup menarik bagi jenama tersebut.

Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad berkata, pemilihan mereka suami isteri sebagai duta baharu KitKat dianggap sebagai rezeki selepas berkahwin.

Katanya, antara sebab utama dia bersetuju untuk menjadi duta jenama itu kerana dia mempunyai nostalgia tersendiri bersama Kit Kat.

“Tidak keterlaluan untuk saya katakan, saya membesar dengan KitKat. Seingat saya pek kecil ini boleh dibeli dengan harga 80 sen sahaja dulu.

“Jadi apabila pihak Nestlé melamar kami, tentu sahaja kami tidak berfikir panjang untuk menerimanya,” katanya pada majlis pelancaran yang diadakan baru-baru ini.

Bagi Stacy atau nama sebenarnya Ummu Shaikhah Stacy Anam pula, dia tertarik untuk menjadi duta jenama itu kerana KitKat merupakan jenama yang dipercayai, di samping berpeluang bekerjasama dengan Akim buat pertama kali.

Bagaimanapun Stacy menegaskan ini bukan permulaan buatnya dengan Akim terus bekerjasama dan tidak kisah andai tawaran datang kepada salah seorang daripada mereka.

“Kami mendapat tawaran ini kira-kira bulan April lalu dan sempat menjalani penggambaran iklan di Thailand. Ini merupakan gandingan pertama kami selepas berkahwin dan Stacy gembira kerana dapat bekerja dengan suami.

“Bagaimanapun ia tidaklah bermakna kalau nak ambil Stacy bekerja kena ambil Akim sekali. Walaupun kami duduk di bawah satu bumbung, tetapi terma kami lain-lain,” jelasnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah mereka akan membawa anak angkat, Bella ke industri seni selepas ini, Akim menjelaskan, ia bergantung pada tawaran dan dia seboleh-bolehnya enggan memaksa Bella untuk bekerja pada usia muda.

“Tidaklah bermakna kami datang dengan satu pakej. Kalau boleh kami tak mahu terlalu dedahkan Bella dengan industri seni kerana masih terlalu kecil.

“Kalau ada tawaran pun kami kena lihat dulu kerana Bella ada waktu tidur dia. Kalau terlalu memaksa atau ganggu jadual tidurnya, kami takut mood dia hilang. Kalau boleh, biarlah dulu,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Perniagaan, Unit Perniagaan Konfeksioneri, Nestlé Malaysia, Sachin Goel berkata, pemilihan Akim dan Stacy adalah kerana pasangan ini masih muda dan berbakat serta memiliki personaliti penuh bertenaga.

“Kami mengalu-alukan Akim dan Stacy ke dalam keluarga KitKat.

“Dalam kesibukan kerjaya mereka sebagai penghibur, Akim dan Stacy tahu bilakah masanya untuk berhenti untuk berehat dan memulihkan tenaga. Mereka benar-benar melambangkan gaya hidup KitKat,” katanya.

Tambah Goel, KitKat percaya kerjasama mereka dengan pasangan selebriti yang moden dan ceria ini akan membawa senyuman ke wajah dan muzik ke pendengaran para peminat mereka.

Pendedahan di laman facebook KitKat Malaysia dua minggu lepas yang mengumumkan Akim dan Stacy sebagai 'breakers' baharu KitKat telah menerima hampir 200,000 'like' dan maklum balas.

Pelantikan Akim dan Stacy sebagai breakers baharu KitKat adalah sebahagian daripada kempen global jenama tersebut iaitu ‘Jalan-Jalan Breakers. Ikuti #mybreak dan #jalanjalanbreakers hashtag di Facebook dan Twitter untuk turut menyertai kemeriahannya.
Powered by Blogger.