F 400 peniaga bazar gagal berniaga | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

400 peniaga bazar gagal berniaga

Seramai 400 peniaga tidak dapat meneruskan perniagaan mereka di bazar Ramadan Bandar Baru, Kubang Kerian selepas diarahkan berpindah ke tempat baharu yang dikatakan tidak sesuai dan berhabuk.

Mereka terpaksa berpindah ke kawasan berkenaan, selepas diarahkan pihak berkuasa atas alasan kehadiran mereka yang berniaga di tapak lama boleh menimbulkan kesesakan lalu lintas.

Keadaan itu juga berlaku, ekoran pembukaan sebuah restoran baharu di laluan terbabit.

Ekoran situasi itu, peniaga melahirkan rasa tidak puas hati dan mengharapkan masalah berkenaan dapat diselesaikan memandangkan notis pemberitahuan hanya diberikan pada malam Jumaat lalu yang menyebabkan ramai peniaga kecewa.

Seorang peniaga, Rohaya Mohamad, 45, berkata dia amat terkesan dengan masalah itu memandangkan punca rezekinya hanyalah dengan perniagaan keropok dan popia di bazar Ramadan sejak empat tahun lalu.

“Kami sebelum ini sudah pun membayar sewa tapak kepada pihak pemajak dan mereka bersetuju mengekalkan tapak lama mengikut perjanjian sebelum ini di bawah Majlis Perbandaran Kota Bharu- Bandaraya Islam (MPKB-BRI).

“Namun notis singkat yang kami terima membuatkan ramai peniaga yang tidak berpuas hati dan terpaksa mengadakan protes ekoran diarahkan berpindah serta-merta,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga Rohaiza Harun, 50, berkata sebagai peniaga yang sudah lama berniaga di kawasan berkenaan, beliau mengharapkan rayuan mereka diterima.

“Kami telah pun mengajukan perkara ini kepada pihak atasan termasuk Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI).

“Sepatutnya tapak lama dikekalkan memandangkan ia menjadi tumpuan ramai berbanding tapak baharu yang berhabuk dan lebih sesak kerana berhampiran dengan rumah penduduk di kawasan taman sekitar,” katanya.

Seorang lagi peniaga Che Hussin Mat Nawi, 55 berkata, pihak peniaga perlu penjelasan segera memandangkan sebelum ini mengikut perjanjian mereka dibenarkan berniaga di tapak lama dan hanya menerima notis berpindah beberapa hari sahaja sebelum Ramadan.

Sehubungan itu pihak terbabit meminta pihak pemajak serta pihak bertanggungjawab menyelesaikan masalah mereka dengan segera yang turut menjejaskan punca rezeki mereka.

Sementara itu, Sinar Harian telah cuba mendapatkan maklum balas daripada pihak berkuasa tempatan berkenaan, namun gagal dihubungi.
Powered by Blogger.