F Zamani elak tekanan, hindar dadah | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Zamani elak tekanan, hindar dadah

Berbanding berapa tahun lalu, penampilan vokalis kumpulan Slam, Zamani, ketika ini kelihatan lebih segar dan terurus. Tubuhnya yang suatu ketika dulu kurus melidi kini jelas tampak berisi. Tatkala duduk bersembang dengannya sambil bercerita mengenai projek konsert Kurnia Slam 2016 yang bakal berlangsung 14 Mei ini di Kenanga Wholesale City (KWC), Zamani cukup yakin bertentang mata dengan media tanpa mengenakan kaca mata hitam seperti kebiasaan. Ternyata, seperti dikatakannya sebelum ini, Zamani sudah bebas daripada gejala dadah yang pernah membelenggu hidupnya sekian lama. "Saya akui, pada awalnya saya banyak berdepan dengan masalah sehingga tidak dapat banyak tawaran menyanyi. Perkara itu membuatkan hidup saya tertekan dan dari situlah datangnya godaan sehingga membawa saya ke jalan yang salah. "Benda seperti ini memang sangat bahaya. Disebabkan itu, dari awal lagi saya tak nak bagi tekanan dalam diri ini. Kalau ada tekanan, pasti akan menjerumuskan saya kembali ke kancah lama," kata Zamani kepada BH Online. Sambil menegaskan beliau sudah kembali sihat seperti sedia kala, Zamani berkata, dirinya sangat teruja dan bersemangat untuk menghiburkan peminat menerusi konsert mega itu. "Pastinya saya teruja dan tidak sabar untuk mengadakan konsert ini. Saya mahu peminat Slam terhibur dan bergembira sepanjang persembahan berlangsung. "Persediaan saya pula seperti biasa, iaitu termasuk menjaga stamina dan kesihatan. Seperti saya katakan tadi, saya tak mahu memberikan tekanan dalam diri hanya kerana konsert ini," tegas penyanyi berusia 45 tahun ini. Dalam temubual itu juga, Zamani melahirkan hasratnya untuk mengundang penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza menyaksikan konsertnya. "Memang saya ingin mengundang Siti dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa untuk sama-sama menyaksikan konsert kami. Undangan itu adalah sebagai tanda penghormatan sesama rakan artis. "Bukan saja Siti, tetapi juga rakan artis lain yang sama-sama mencipta nama bersama kami atau artis baharu untuk menyaksikan serta memeriahkan konsert ini," ujarnya. Sementara itu, dalam temubual awal bersama anggota Slam lain, mereka mengakui saat paling mencabar untuk mengadakan konsert itu adalah ketika memilih lagu yang bakal dinyanyikan pada malam berkenaan. Menurut ketua kumpulan itu, Shah Nizam Abdul Halim atau Shah, bagi memastikan semua lagu popular Slam dapat diperdengarkan, mereka membahagikan konsert itu kepada beberapa segmen. "Semua lagu popular kami akan disampaikan mengikut segmen disediakan. Lagu rancak dan perlahan akan disampaikan secara berselang-seli. Biasanya dalam mana-mana konsert, lagu popular akan dinyanyikan pada penghujung konsert. Kami bagaimanapun tidak mahu peminat menunggu terlalu lama," terang Shah yang juga pemain gitar utama kumpulan berkenaan. Pada konsert ini nanti, Slam turut mengundang dua penyanyi, iaitu Hazama dan Ronnie Hussein sebagai artis undangan. "Hazama dan Ronnie dipilih kerana mereka peminat setia kami. Lagipun, kedua-duanya penyanyi hebat. Untuk konsert itu nanti mereka juga akan menyanyikan lagu Slam," ujarnya. Bagi peminat yang ingin menyaksikan konsert ini, mereka boleh mendapatkan tiket secara dalam talian menerusi www.ticketpro.com.my, atau di cawangan TicketPro. Peminat juga boleh menghubungi talian 03-78807999.


Powered by Blogger.