F Zainal imbau kenangan lama | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Zainal imbau kenangan lama

Lagu-lagu dendangannya tidak pernah padam daripada ingatan masyarakat Malaysia.

Sebut sahaja judul seperti Hijau, Ikhlas Tapi Jauh, Manis, Inayah, Puteri dan banyak lagi, ‘living legend’ bernama Zainal Abidin ini tidak pernah menghampakan peminat setiap kali muncul di pentas persembahan.

Sebelum itu, Zainal juga dikenali sebagai penyanyi kumpulan Headwind yang popular dengan lagu-lagu seperti Suraya, Kita Serupa, Segalanya Mungkin, Pelangi dan banyak lagi.

Terbaru, Zainal tampil menghiburkan peminatnya dalam Konsert Zainal Abidin & Malaysia Philharmonic Orchestra (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC, baru-baru ini.

Dalam konsert yang diadakan dua malam itu, Zainal tampil melantunkan lagu-lagu popularnya diiringi pemuzik handalan daripada MPO diketuai konduktor Ahmad Muriz Che Rose.

Paling menarik tentunya lagu-lagu popular Zainal diberi nafas baru dengan susunan muzik orkestra dan digabungkan dengan vokal mantap penyanyi itu.

Apa yang pasti, persembahan Zainal ternyata meninggalkan kesan kepada setiap penonton yang berada dalam dewan berprestij itu.

Tatkala penyanyi itu melangkah ke tengah pentas, sorakan peminat kedengaran dan dia membuka persembahan dengan rendisi peribadi lagu Chan Mali Chan serta Suriram.

“Lagu-lagu rakyat seperti ini sentiasa diperdengarkan kepada saya pada zaman kanak-kanak. Ia sekali gus mengimbau kembali zaman kecil saya dan saya yakin, anda juga turut sama mengingati kenangan lama,” katanya.

Seterusnya, penonton dihiburkan dengan dendangan lagu-lagu popular Headwind seperti Segalanya Mungkin, Hanya Di Radio, Debu Liar dan tentunya lagu yang sentiasa malar hijau sehingga ke hari ini, Suraya.

Tentunya lagu Suraya mendapat tepukan gemuruh selain turut dinyanyikan semua penonton.

“Headwind menjadi salah satu ‘guru’ saya dan tempat di mana saya mula bertapak dalam industri muzik. Banyak pengalaman dan pelajaran saya dapat sepanjang bersama Headwind,” katanya.

Tambah Zainal, selepas tidak bersama Headwind, dia mahu bereksperimen dalam berkarya dan oleh sebab itu, dia bergerak solo hingga terhasilkan album solo pertamanya, Zainal Abidin berkonsepkan world music.

Dalam segmen kedua konsert ini, Zainal membawakan lagu-lagu daripada album solonya seperti Manis, Damai IV dan Inayah.

Masih mengimbau kenangan lalu, Zainal benar-benar menyampaikan jiwanya dalam setiap lagu, sekali gus sampai tepat ke hati semua penonton.

Zainal seterusnya mencuri perhatian penonton sekali lagi dengan lagu seperti Orak Arek, Bongkar dan Khayalan.

Tidak ketinggalan, tentunya lagu wajib setiap kali dia membuat persembahan iaitu Hijau.

“Saya ingin menyampaikan mesej kepada seluruh masyarakat untuk bersama-sama menjaga alam kerana ia bakal diwarisi generasi akan datang. Dari situlah munculnya idea untuk menghasilkan lagu ini,” katanya sebelum mendendangkan ‘lagu berhantu’ itu.

Itu juga lagu terakhirnya dalam senarai persembahan di konsert itu. Namun, atas permintaan ramai, Zainal menghargai peminatnya dengan menyampaikan lagu permintaan ramai, Ikhlas Tapi Jauh.

Secara keseluruhan, konsert itu berjalan dengan lancar, sekali gus memberi peluang kepada peminat Zainal untuk menikmati nafas baru lagu-lagu popularnya.

Konsert ini juga sekali lagi membuktikan MPO bukan sahaja mampu memberikan persembahan untuk lagu-lagu bergenre klasikal barat, bahkan kepada lagu-lagu pop, jazz dan kontemporari.
Powered by Blogger.