F YB KJ Bakal Rasmikan Pertunjukan Fesyen 17 Mei Ini | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

YB KJ Bakal Rasmikan Pertunjukan Fesyen 17 Mei Ini

Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin (KJ) Abu Bakar bakal melancarkan satu pertunjukan fesyen jenama butik terkenal Bianco Mimosa (BM) yang akan berlangsung di hotel Royal Chulan, Damansara, pada 17 Mei ini.

KJ diberi penghormatan melancarkan rangkaian sulung koleksi busana lelaki jenama berkenaan yang diberi nama Mimosa Men yang terdiri daripada rangkaian baju-t, seluar jeans, kemeja yang berkonsepkan santai dan trendy.

Menurut pencetus idea koleksi tersebut iaitu Datuk Dr. Najmil Faiz Mohammad Aris, pemilihan KJ kerana keperibadian dan imejnya yang bukan saja dikenali sebagai seorang figura berpengaruh dalam dunia politik malah merupakan ikon generasi belia.

"YB KJ bukan saja dikenali sebagai seorang menteri dan ahli politik malah beliau adalah ikon bagi anak-anak muda. Cara pemakaian YB yang fashionable, dengan gaya maskulin beliau.

"Selain itu, kami merasakan beliau dapat menarik masyarakat terutama dikalangan anak-anak muda dan belia untuk lebih mengenali jenama kami dan koleksi terbaharu kami," kata Najmil yang juga merupakan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Terengganu.

Berkongsi lanjut mengenai rekaan koleksi Mimosa Men, Najmil berkata, beliau mengambil masa selama setahun untuk menghasilkan idea dan rekaan tersebut.

"Saya suka fesyen dan saya dapat sokongan daripada isteri saya yang juga seorang pereka fesyen. Saya sangat suka dengan lakaran seperti Skull (tengkorak), saya suka konsep fesyen yang santai.

"Dalam kerjaya sebenar saya, saya banyak bergaul dengan para belia. Jadi dengan persekitaran itu sedikit sebanyak memberi inspirasi bagi rekaan saya yang mana saya menghasilkan koleksi fesyen santai dan kasual yang sesuai bagi gaya anak-anak muda remaja dan belia masa kini.

"Harga-harganya berpatutan iaitu antara RM59 hingga RM600. Untuk pemulaan ini misalnya koleksi jeans mempunyai saiz dari 30 hingga 36 dan setiap saiz kami keluarkan sebanyak 150 pasang," katanya.

Selain itu, pada acara pertunjukan fesyen itu nanti, dua lagi koleksi terbaharu BM turut dilancarkan iaitu Just Mimosa terdiri daripada busana Ready- To-Wear khas untuk golongan wanita mengikut perkembangan yang lebih trendy.

Satu lagi, koleksi Mimosa Raya khas buat golongan lelaki dan wanita yang mencari alternatif lain dalam pilihan busana raya untuk diperagakan ketika menyambut Syawal nanti.
Powered by Blogger.