F Yatt Hamzah tak kisah digelar 'Yatt Sejadah' | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Yatt Hamzah tak kisah digelar 'Yatt Sejadah'

Pelakon dan pengacara, Yatt Hamzah menyedari ada pihak tidak berpuas hati dengan perkongsian mengenai cara kehidupan Islam yang diamalkannya bersama keluarga. Susulan perkara itu, Yatt atau nama sebenarnya Haryati Hamzah, 36, digelar 'Yatt Sejadah' kerana menyifatkan beliau seolah-olah ingin menutup keburukannya dengan memaparkan kehidupan sebagai muslimah sejati. "Saya tahu ramai yang bercakap belakang kononnya saya hanya sekadar tunjuk baik. Saya juga maklum ada segelintir pihak menggelarkan saya sebagai 'Yatt Sejadah'. "Biarlah apa mereka hendak cakap. Malas mahu melayan atau berbalah dengan orang yang mempunyai mentaliti begini. Lagipun dari dulu lagi saya sering menjadi mangsa kritikan. "Lebih baik saya ambil pendekatan tidak ambil serius dengan setiap isu berkaitan diri. Masyarakat sering menyalah anggap bahawa wanita berhijrah atau bertudung juga manusia yang akan buat kesalahan dalam hidup," katanya kepada BH Online. Yatt berkata demikian bagi mengulas kritikan golongan netizen yang menuduh beliau kononnya sengaja mahu menunjuk alim sedangkan sikap beliau yang sebenar bukan begitu. Dalam pada itu, Yatt berkata, dia sering memuat naik foto aktiviti hariannya di Instagram sekadar untuk berkongsi cerita kepada umum selain ingin memberi inspirasi kepada orang lain yang mahu menjadi seorang Muslim yang baik. Namun, Yatt sedar, tidak semua orang menyukai cara beliau berkongsi aktiviti hariannya itu. "Sejak terbabit dalam industri hiburan lagi saya sudah mengingatkan diri bahawa masyarakat akan bercakap perihal diri kita tidak kira sama ada cerita baik atau buruk. "Lebih-lebih lagi apabila seseorang artis itu sudah berhijrah. Masyarakat hanya ingin melihat perkara yang indah saja," katanya lagi. Sementara itu, ditanya penerimaan suami berhubung isu berkenaan, Yatt berkata, suaminya, Mohammad Zulfadhli Khiruddin, 26, lebih tenang berhadapan dengan perkara sedemikian. Katanya, dia juga sudah memaklumkan suaminya itu terlebih dulu supaya beliau terkejut apabila menjadi bahan kejian segelintir anggota pihak sebaik beristerikan seorang artis. "Awal-awal lagi saya berpesan pada suami untuk bersiap sedia dengan segala tohmahan yang akan dilemparkan kepada saya. Syukur, dia memahami keadaan ini malah nampaknya lebih tenang berbanding saya," ulasnya yang kini hamil dua bulan. Yatt sebelum ini pernah berkahwin dengan Abdul Mutalib Shukor pada 29 Mac 2009. Namun bercerai pada 25 Ogos 2015 dan perkahwinan mereka dikurniakan anak perempuan Suci Hanania Malika, 6.


Powered by Blogger.