F Wolverine kembali beraksi | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Wolverine kembali beraksi



Peminat masih berharap Wolverine akan kembali dalam X-Men: Apocalypse walaupun dinafikan pelakon dan kru filem adaptasi komik Marvel itu sebelum ini.


Harapan mereka kian cerah selepas pelakon Wolverine, Hugh Jackman dikatakan mungkin membuat penampilan khas dalam sekuel kesembilan X-Men itu.

Akhirnya, teka-teki itu dijawab pengarah Bryan Singer dan produser Simon Kinberg yang mengesahkan Wolverine akan kembali beraksi dengan karakter berbeza.

Walaupun babak mutan berkuku besi itu sedikit, Singer mendedahkan Wolverine mempunyai peranan istimewa dalam filem berlatarkan tahun 1983 itu.

“Menariknya, penonton akan menyaksikan sikap Wolverine yang jauh berbeza daripada sebelum ini. Fungsi dia sebagai senjata X jelas terserlah dalam filem ini,” katanya.

Berdasarkan komik X-Men, kerajaan melaksanakan projek khas untuk menjadikan mutan sebagai senjata dan salah seorang daripadanya adalah Wolverine.

Bercerita lanjut mengenai Wolverine dalam X-Men: Apocalypse, Kinberg berkata, beberapa versi kemunculan mutan dalam filem itu difikirkan produksi.

“Sebenarnya saya tidak tertekan untuk mengembalikan Wolverine dalam filem ini kerana merasakan ada beberapa watak X-Men hebat yang boleh diketengahkan.

“Saya percaya filem ini tetap menarik tanpa Wolverine,” katanya kepada portal HeyUGuys.

Menurut Kinberg, salah satu versi adalah memperkenalkan Wolverine di pertengahan naratif sebagai pembimbing mutan muda.

“Namun, kami merasakan versi itu kurang sesuai kerana seolah-olah masuk campur peranan Raven sebagai contoh kepada mereka.

“Kemudian, kami turut menghasilkan tiga versi lain namun mendapati semuanya tidak sesuai dengan jalan cerita,” katanya.

Produser itu turut mendedahkan terfikir untuk menghasilkan babak Wolverine bertemu kekasihnya, Jean Grey yang masih remaja.

X-Men: Apocalypse adalah filem kelapan Jackman sebagai Wolverine dan pelakon itu akan kembali dengan kehebatan kuku besinya dalam sekuel baru Wolverine pada 2017.

Bagaimanapun, pelakon kelahiran Australia itu baru-baru ini mengumumkan akan bersara sebagai Wolverine selepas 16 tahun berlakon sebagai mutan itu dalam beberapa filem Marvel.

Filem X-Men: Apocalypse akan menemui peminat di pawagam seluruh negara hari ini.

Sekuel itu dibintangi James McAvoy, Michael Fassbender, Jennifer Lawrence, Oscar Isaac, Nicholas Hoult, Rose Byrne, Tye Sheridan, Sophie Turner, Olivia Munn dan Lucas Till.

Ia mengisahkan kebangkitan mutan purba, Apocalypse pada 1983 dan merancang untuk menakluk dunia dengan merekrut empat anggota Four Horsemen.

Bagi menumpaskan Apocalypse, anggota X-Men perlu menewaskan Four Horseman.

Pada penghujung naratif, fasiliti Senjata X yang terbiar diceroboh pasukan tentera bagi mendapatkan semua data penyelidikan mutan Stryker.
Powered by Blogger.