F Ustaz Kazim senaraikan tiga nama lain pada PM | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Ustaz Kazim senaraikan tiga nama lain pada PM

Penceramah bebas, Mohammad Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim berkata, pihaknya telah menyenaraikan tiga nama untuk dipertimbangkan sebagai calon Majlis Tertinggi (MT) Umno selepas beliau mengumumkan tidak menerima lantikan tersebut.

Menurutnya, tiga nama yang terdiri daripada pendakwah bebas dan tidak menaungi mana-mana parti politik itu telah diserahkan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk diputuskan.

“Sebelum saya dipilih, saya difahamkan ada 15 calon lain selain saya dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim), Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

“Bila Najib minta pendapat saya untuk nyatakan siapa yang boleh gantikan tempat saya, saya beri tiga nama, cuma saya pun tak pasti adakah nama yang saya calonkan itu termasuk atau tidak dalam 13 calon lain sebelum ini,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Kelmarin, Ustaz Kazim mengumumkan menolak pelantikan beliau sebagai Ahli MT Umno dan pengumuman tersebut dibuat beliau di hadapan kira-kira 2,000 hadirin dalam program ceramah agama di Taman Ria, di Sungai Petani, Kedah.

Pada Jumaat lalu, Umno mengumumkan pelantikan sembilan anggota MT, antaranya Ustaz Kazim dan Asyraf Wajdi.

Selepas pengumuman terbabit dibuat, Ustaz Kazim menerima pelbagai tohmahan dan fitnah termasuk daripada pemimpin dan ahli parti politik dan beliau kemudiannya mengambil keputusan untuk keluar daripada Pas.

Tambah Ustaz Kazim, tiga nama yang dikemukakannya merupakan tokoh agama dan amat terkenal di negara ini dan berada di luar Perak.

“Cuma saya tak boleh la nak sebut siapa, tapi apa yang pasti mereka ini berpelajaran lebih tinggi dari saya dan Najib pun nyatakan beliau kenal dengan ketiga-tiga individu terbabit.

“Saya pun tak tahu Najib pilih yang mana malah kalau saya cakap nama mereka nanti apa pula kata mereka nanti, jadi kita tunggulah presiden yang umumkan,” katanya lagi.

Beliau menambah, walaupun tidak menjadi ahli MT Umno, beliau sentiasa bersedia untuk memberi pandangan dan cadangan kepada Najib demi kebaikan umat Islam.

“Saya ada cadangkan kepada Najib pada pertemuan saya dengan beliau sebelum ini dan antaranya adalah untuk menubuhkan Majlis Ulama Intelektual yang mana badan ini bukan berada dalam Umno dan Alhamdulillah, beliau terima baik cadangan ini.

“Pendakwah dalam badan ini tidak ada parti malah tidak ada kepentingan dan mereka ikhlas menegur demi kepentingan Islam dan semua pihak. Najib beri respons yang baik atas cadangan saya itu dan jika ia dilaksanakan, saya akan terima amanah yang diberikan,” katanya.
Powered by Blogger.