F Uqasha 'rebranding' tudung | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Uqasha 'rebranding' tudung

DALAM kemeriahan ramai selebriti tempatan mengeluarkan produk tudung dan shawl sendiri, pelakon Uqasha Senrose turut mencuba nasib. Namun, belumpun setahun perniagaan ini diceburi, pelakon yang popular dengan drama Tundukkan Playboy Itu mengambil keputusan untuk menarik diri dan membuat penjenamaan semula perniagaan tudung tersebut.

Tudung yang dilancarkan pada September tahun lalu tidak mendapat pulangan sepatutnya walaupun sudah melabur banyak duit.

"Ada beberapa faktor yang membuatkan saya tawar hati untuk meneruskan perniagaan berkenaan.

"Sembilan bulan menjalinkan kerjasama, hanya RM5,000 sahaja pulangan yang saya dapat berbanding jumlah pelaburan yang saya buat.

"Apabila ditanya, katanya tiada keuntungan. Kemudian ada banyak lagi janji manis yang dituturkan tinggal janji sahaja,"  katanya.

Demi meneruskan minat dalam perniagaan ini, kini Uqasha dalam perancangan membuat penjenamaan semula.

Akui kecewa dengan perkara yang berlaku, ujar pemilik nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 24, ia menjadikan dia lebih berhati-hati selepas ini.

"Kalau ikutkan saya bukanlah jenis yang cepat terpedaya atau percaya dengan orang. Mungkin saya tidak berhati-hati sebelum ini dan ia menjadi pengajaran besar buat saya," katanya ketika ditemui pada majlis prebiu media Syukur Selalu Ramadan TV3, TV9 dan Tonton 2016 di Hotel Le Meridien.

Selain Uqasha, duta lain yang turut hadir malam itu adalah Hafidz Roshdi, Fasha Sandha, Amar Asyraf, Fattah Amin, Janna Nick dan Raja Afiq.

Melihatkan susuk tubuhnya yang semakin kurus, Uqasha mengakui perkara itu.

"Saya memang dah kurus sekarang. Tetapi ia bukanlah disebabkan pengambilan bahan terlarang, sebaliknya kerana faktor kurang rehat dan tekanan akibat kontroversi yang melanda.

“Tidak dinafikan berat saya susut sehingga 44kg (kilogram). Mungkin kerana faktor kerja yang padat ditambah komitmen di dalam teater Ombak Rindu.

“Selain itu, sebagai manusia biasa, saya juga merasa tempias kontroversi yang berlaku. Bagaimanapun saya akan cuba menambah kembali berat saya,” katanya yang akan terlibat dalam beberapa penggambaran untuk tayangan pada Ramadan dan Syawal ini.
Powered by Blogger.