F Tuah duta dua produk | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Tuah duta dua produk

Pelakon popular Fasha Sandha menyifatkan pemilihannya sebagai duta bagi satu produk tudung adalah langkah awal untuknya berhijrah.

Fasha, 32, berkata, pada mulanya dia berat hati untuk menerima tawaran itu kerana dia belum bertudung.

“Saya mengambil masa selama setengah tahun untuk menerima tawaran menjadi duta jenama ini. Selepas berfikir, akhirnya saya bersetuju kerana ia adalah rezeki.

“Ia juga rezeki anak-anak saya dan tidak baik jika saya menolaknya. Pada masa sama, ia satu permulaan yang baik untuk saya berubah ke arah yang lebih baik. Mungkin dengan cara ini Allah SWT memberikan hidayah kepada saya.

“Sebelum ini pun, Erra Fazira pernah dilantik menjadi duta tudung sebelum dia bertudung. Jadi pada saya ia bukan satu isu besar. Saya percaya setiap perbuatan yang disertai dengan niat baik akan dipermudahkan Allah,” katanya.

Fasha yang juga ibu tunggal dua anak berkata, salah satu sebab dia dipilih menjadi duta selepas dia mengenakan koleksi tudung itu ketika menjalani penggambaran drama Tentang Hati, kira-kira dua tahun lalu.

Dari situ, ramai memberi maklum balas baik dan suka melihat koleksi itu digayakannya.

“Keputusan memilih saya adalah daripada pihak mereka. Walaupun selepas ini banyak pihak akan mempertikaikan pemilihan saya, ia bukan masalah untuk saya. Selama ini pun saya sudah puas melalui pelbagai dugaan dan cabaran hidup.

“Apa saja yang dilakukan, saya tidak pernah ambil kisah kerana apa yang penting adalah kepentingan diri sendiri. Justeru, sejak awal lagi saya sudah bersedia berdepan dengan segala kritikan masyarakat.

“Cuma, apabila bergelar duta tudung ini, saya perlu menjaga tingkah laku dan personaliti. Pendek kata, ini satu tanggungjawab yang besar,” katanya.

Raih pendapatan tertinggi

Selain itu, untuk tahun ini sahaja Fasha turut dilantik menjadi duta minyak wangi. Ia sekali gus menjadikan pelakon drama Chinta ini meraih pendapatan tertinggi sepanjang 12 tahun pembabitannya sebagai anak seni.

“Bagi lima bulan pertama tahun ini, apa saya boleh katakan adalah pendapatan yang diraih melebihi pendapatan setahun saya sebelumnya. Bukan nak bercakap besar, tetapi itulah yang dinamakan rezeki anak-anak yang tidak pernah putus.

“Alhamdulillah, perkara itu memberi satu kepuasan kepada saya, apatah lagi ia adalah hasil kerja keras saya dan kepercayaan daripada beberapa pihak. Selepas saya melalui fasa yang tidak indah dalam kehidupan, Allah menggantikannya dengan kegembiraan yang lain,” katanya.

Bagaimanapun, Fasha enggan berkongsi lanjut jumlah pendapatan berkenaan kerana ia terlalu peribadi.

“Cukup untuk saya katakan, jumlahnya agak tinggi jika mahu dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya,” katanya ringkas.

Menambahkan lagi jumlah pendapatannya itu apabila bekas pemenang tiga kali bagi kategori Pelakon TV Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ini menerima tawaran berlakon membabitkan drama 100 episod.

Drama berjudul Lara Aishah yang memulakan penggambaran sejak April lalu dijangka tamat pada November nanti.

“Setiap minggu saya diberikan cuti sehari. Walaupun saya melakonkan watak utama, tetapi ada juga lokasi yang tidak membabitkan saya. Pada waktu itu saya boleh meluangkan masa dengan anak-anak.

“Saya sentiasa mahukan yang terbaik untuk mereka. Paling penting kedua-dua mereka mendapat kasih sayang yang secukupnya. Memandangkan hak penjagaan anak diberikan sepenuhnya kepada saya, jadi perkara itu lebih mudah,” katanya. - Sudirman Mohd Tahir


Powered by Blogger.