F Tak Peduli Dikecam, Selesa Berfeyen Eksentrik - Melly Goeslaw | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Tak Peduli Dikecam, Selesa Berfeyen Eksentrik - Melly Goeslaw

Tidak hanya karya-karya ciptaan beliau saja yang menjadi fenomena dan siulan ramai, namun imej dan penampilan ratu lagu-lagu soundtrack, Melly Goeslaw, 42, tidak kalah dari sering mencuri tumpuan khalayak.

Sementelah sejak mengambil keputusan berhijab, figura yang juga dikenali dengan jolokan seniman genius Indonesia ini sering mengayakan fesyen unik dan cukup eksentrik di atas pentas dengan busana sarat dan solekan pancawarna.

Bagi Melly, dia punya sebab demikian. Mengaku ia sebagai satu hipnosis khalayak kerana dirinya seorang yang pemalu, selebihnya dia seorang yang gemar bermain dengan eksperimen.

"Saya seorang yang cepat bosan dan selalu berfikir mengapa perempuan selalu melakar warna hitam atau coklat sahaja pada alis mereka, walhal kita ada pilihan memakai misalnya warna kuning, hijau atau merah.

"Dan saya memilih untuk berbuat demikian kerana mahu kelihatan berani dan unik. Malah saya kira semua orang boleh menjadi berani dan unik, "ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran album runut bunyi filem fenomena Ada Apa Dengan Cinta (AADC2), bertempat di hotel Royal Chulan KL, pada Rabu.

Bagaimanapun pelantun lagu Ratusan Purnama ini tidak terlepas daripada kecaman dan kritikan pedas sesetengah pihak mengenai gayanya yang sehingga disifatkan 'pelik melampau'.

"Saya sedar memang ramai yang mengkritik dan mengecam fesyen dan imej saya. Tapi saya tidak peduli, selagi apa yang saya lakukan ini tidak mengganggu hidup orang lain.

"Malah saya langsung tidak membaca komen dan kritikan mereka. Kalau saya terbaca pun, sekadar baca saja. Tidak pernah rasa sakit hati atau marah kepada mereka yang mengecam saya.

"Saya selesa jadi unik, saya selesa jadi Melly. Saya seorang yang realistik. Saya pakai apa saja dengan fizikal saya yang gemuk dan tidak mahu keluar di hadapan khalayak dengan penampilan, bukan seperti Barbie. Begitu juga, saya berhijab pun bukan kerana mahu mempubilisikan diri saya tetapi kewajipan saya dan ia antara saya dengan Allah, "tuturnya sekaligus mengulas mengenai pandangan negatif sesetengah pihak terhadap penampilan dan fesyennya.

Berkongsi pula mengenai album, Melly berkata, dia bersyukur kerana masih menjadi pilihan penerbit dan pengarah AADC2 iaitu Mira Lesmana dan Riri Reza. Bahkan kesempatan sekali lagi diberi tanggungjawab untuk meneruskan kesinambungan populariti filem itu dianggap sebagai satu penghormatan buat dirinya.

Bekerjasama dengan suaminya, pemuzik Anto Hoed, dia mempertaruhkan Ratusan Purnama yang diharap tidak sekadar menjadi lagu tema itu tetapi boleh menyentuh hati semua penonton filem berkenaan. Selain itu, lagu Jangan Ajak-Ajak Dia juga menjadi kekuatan di dalam AADC2. Lagu tersebut khusus diciptakan Melly untuk memberi lagi impak klimaks sekaligus membuatkan babak-babak di dalam filem tersebut menjadi lebih kuat dan lebih terkesan.

"Saya suka dengan filem AADC sehinggakan sampai satu ketika saya rasa filem itu seperti tentang kisah cinta saya sendiri. Kalau pun bukan saya lagi yang jadi pilihan Mira dan Riri, sesiapa pun yang terlibat untuk penghasilan soundtracknya, saya tetap sokong dan suka filem itu," katanya.

Disamping sibuk dengan promosi album soundtrack AADC2, Melly bakal muncul menerusi lagu runut bunyi untuk filem Jilbab Traveller.

Selain itu, Melly dalam perancangan tampil dengan projek terbaharu di bawah nama bandnya, Potret.
Powered by Blogger.