F Syafie Naswip Nekad Ceburi Sukan Drift Walaupun Ditentang Bapa | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Syafie Naswip Nekad Ceburi Sukan Drift Walaupun Ditentang Bapa

Sukan permotoran seperti sukan drift merupakan antara sukan yang semakin berkembang dan cukup diminati oleh ramai golongan muda masa kini terutamanya di kawasan- kawasan bandar.

Malah, setakat ini sudah terdapat beberapa buah filem yang pernah dihasilkan dengan memuatkan elemen-elemen sukan drift dalam tema penceritaan yang dipersembahkan.

Terbaharu, kali ini terdapat sebuah lagi filem yang memaparkan cerita mengenai sukan drift yang akan memulakan tayangan di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 4 Ogos 2016 berjudul Kampung Drift.

Menggabungkan genre aksi, komedi dan sains fiksyen, Kampung Drift mengisahkan pengembaraan hidup seorang remaja bernama Johan (Syafie Naswip) dalam mencari erti kejayaan dan kehidupan menerusi sukan drift yang berkait rapat dengan sejarah hidupnya.

Walaupun ditentang keras oleh ayahnya untuk menyertai sukan drift, minat Johan terhadap sukan itu tidak pernah pudar. Bersama-sama kawan baiknya, Bojeng, pakciknya, Ajoi, dan saintis ‘gila’, Pak Idon, dia akan menggunakan apa sahaja cara untuk melibatkan diri secara aktif dalam sukan pemotoran drift itu.


Minat Johan mula bertukar menjadi sebuah impian besar apabila dia mendapat tahu sejarah hitam ayahnya yang berkait rapat dengan sukan drift.

Namun, penglibatan Johan dalam sukan drift ini menghadapi jalan sukar apabila dia terlibat dalam pelbagai konflik diri, masalah cinta dan persaingan di antara Julia, Shiela dan Ray, drifter ternama dari Kuala Lumpur. Semua ini pula bakal membawa kepada kematian orang yang disayanginya.

Johan cuba mengubah sejarah dengan menggunakan mesin merentas masa untuk kembali ke masa silam. Berjayakah dia? Semuanya bakal terjawab dalam Kampung Drift.


Filem arahan Nevin Hong yang diterbitkan oleh Mico Studio (M) Sdn. Bhd. ini menampilkan beberapa lagi pelakon hebat seperti Pekin Ibrahim, Pablo Amirul, Fatin Afeefa dan ramai lagi.
Powered by Blogger.