F Suria cinta versi visual | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Suria cinta versi visual

Bagi pendengar setia Suria FM, slot Suria Cinta tentunya tidak asing lagi lebih-lebih lagi yang menggemari lagu ‘jiwang’.


Pengendalinya, DJ Lin baru-baru ini memaklumkan slot popular yang ke udara setiap jam 8 malam sehingga 1 pagi itu bakal melangkah ke fasa baru.

“Alhamdulillah, disebabkan sokongan dan sambutan menggalakkan, pihak pengurusan Suria FM ada perancangan membawa program Suria Cinta ke bentuk visual,” katanya.

Menurut Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid, program bual bicara itu akan mengupas kisah cinta selebriti.

“Insya-Allah, saya akan mengendalikan program bual bicara ini. Menerusi progam ini kita akan menyingkap percintaan selebriti terkemuka tanah air.

“Tidak hanya fokus kepada mereka yang sudah berkahwin dan berpasangan, saya juga akan menampilkan selebriti yang masih bujang sebagai tetamu jemputan. Kita akan cungkil rahsia mereka, contohnya pasangan pilihan mereka,” katanya.

Lebih istimewa, program itu turut mengetengahkan pendengar setia yang bertemu jodoh menerusi segmen Mencari Cinta.

“Segmen Mencari Cinta antara yang mendapat sambutan hangat pendengar. Tidak hanya sekadar suka-suka, ada antara mereka sudah berkahwin selepas berkenalan menerusi segmen ini.

“Mereka akan diundang berkongsi pengalaman menarik itu,” katanya lagi.

Sedia maklum kekuatan media sosial dalam kehidupan masyarakat hari ini, program ini akan disiarkan menerusi medium itu.

“Sekarang lebih mudah dengan adanya media sosial. kemungkinan besar, Suria Cinta versi visual ini akan disiarkan secara langsung di laman sesawang Suria Cinta.

“Selain mendengar himpunan lagu menarik dan berbual dengan tetamu jemputan, pendengar juga berpeluang melihat saya membacakan nukilan cinta yang dikirim pendengar menerusi Twitter,” katanya.

Terbaru, pemenang kategori Penyampai Radio Popular pada Anugerah Bintang Popular BH ke-29 (ABPBH29) itu turut tercalon dalam kategori Rancangan Interaktif Radio Terbaik pada Anugerah Seri Angkasa 2016 (ASA2016) yang akan berlangsung Jumaat ini.

“Alhamdulillah, selepas ABPBH29, nama saya dicalonkan dalam ASA2016. Saya pernah menang kategori sama pada 2005 dan 2010. Jika ada rezeki menang tahun ini, syukur.

“Seperti selalu, saya tidak meletakkan harapan tinggi. Disenaraikan sebagai Top 5 pun sudah cukup membanggakan saya, peminat, Suria FM dan Suria Cinta,” katanya yang berharap peminat terus menyokong kariernya dan berjanji memberikan yang terbaik.
Powered by Blogger.