F Slam imbau nostalgia | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Slam imbau nostalgia

Mentari Muncul Lagi. Seperti juga judul lagu popular Slam ini, ia paling sesuai ditujukan buat mereka apabila melihatkan sambutan penonton terhadap Konsert Kurnia Slam yang berlangsung di StarXpo Centre, Kenanga Wholesale City (KWC), Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Melihatkan saingan lain iaitu perlawanan akhir Piala FA di antara Johor Darul Ta’zim menentang PKNS di Stadium Shah Alam yang berlangsung pada malam sama serta usia peminat mereka yang rata-rata melebihi 30-an, kehadiran hampir 6,000 peminat sudah cukup melegakan anggota Slam dan penganjur, Urban Creative Sinergy (UCS). Lebih 20 tahun tanpa konsert mega selepas Konsert Grand Slam Unplugged 1996 di Stadium Negara, kumpulan yang dianggotai Zamani (penyanyi), Shah (gitar), Lily (bass), Ajak (gitar), Eddie (keyboard) dan Man (dram) ini jelas amat dirindui peminat.

Sebaik jarum jam mencecah 9 malam, jeritan dan pekikan peminat mula bergema menandakan mereka seakan-akan tidak sabar untuk berhibur dengan persembahan Slam sambil mengimbas kembali nostalgia dengan lagu-lagu popular suatu ketika dulu.

Kemunculan Zamani bersama anggota lain menerusi lagu Sinar Menunggu sudah cukup membuatkan seluruh StarXpo Centre gamat dengan sorakan dan tepukan bergemuruh daripada peminat yang hadir.

Seterusnya Zamani terus menghiburkan peminat dengan lagu Biarkannya, Maria Mariana, Tak Mungkin Berpaling dan Entah Mengapa. Seperti biasa, tanpa disuruh peminat sama-sama menyanyikan lagu yang pernah menghuni pelbagai carta lagu popular ini.

Jelas kelihatan penyanyi berusia 44 tahun ini kurang berceloteh. Sebaliknya dia terus melontarkan vokal lunaknya menerusi lagu Kembali Merindu, Mentari Muncul Lagi, Biarkan Ia Pergi, Ranting Impian dan Kembali Terjalin.

Slam turut menjemput komposer Saari Amri yang banyak berjasa menaikkan nama mereka di mata peminat ketika menyampaikan lagu Kembali Terjalin. Langkah ini sememangnya dipuji.

Bagaimanapun, tindakan berduet dengan Saari agak mengecewakan sebahagian peminat yang hadir. Mereka amat merindui kemerduan suara Zamani bagi mengalunkan lagu ini sepenuhnya.

Tidak ketinggalan, Ronnie Hussein turut ditampilkan sebagai artis undangan menyampaikan lagu Terasing Dalam Sepi bagi memberikan ruang buat Zamani berehat seketika sebelum meneruskan persembahan.

Selepas itu, mereka tampil pula dengan segmen unplugged. Menerusi segmen ini, mereka merakamkan penghargaan terhadap Allahyarham Rahim Othman yang menghasilkan album sulung Slam berjudul Slam pada 1993.

Tidak dilupakan juga jasa komposer Aidit Alfian yang pernah menghasilkan lagu untuk album solo Zamani. Peminat dihiburkan dengan lagu Buat Seorang Kekasih, Sendiri, Kasih, Syair Si Pari-Pari dan Kita Terpaksa Bermusuhan yang turut menampilkan Hazama sebagai penyanyi undangan.

Slam terus menampilkan lagu popular mereka iaitu Nur Kasih, Manisnya Rindu, Tiada Aku Jemu dan Kurnia sebagai santapan telinga peminat sehinggakan tidak sedar masa berlalu.

Kemudian tiba-tiba sahaja Zamani mengumumkan persembahan mereka sudah menghampiri penghujung. Akhirnya lagu Kurnia yang menjadi tajuk konsert ini disampaikan Zamani dengan penuh perasaan.

Sebelum mengakhiri persembahan dengan lagu Gerimis Mengundang, Slam turut menjemput rakan artis yang hadir memberikan sokongan antaranya Amir Ukays, Zarul Umbrella, Yazit Search serta Ronnie dan Hazama naik ke pentas.

Bagaimanapun, tindakan Slam menyuruh mereka menyanyikan lagu ini agak janggal dan sekali lagi mengecewakan peminat kerana mereka tertunggu-tunggu Zamani menyanyikannya secara solo.

Apatah lagi, populariti Gerimis Mengundang bukan calang-calang kerana bukan sahaja diminati di Malaysia malah menjangkau ke Indonesia.

Kesimpulannya, Slam dan Zamani memang hebat dan sukar dicari ganti. Cuma mereka perlu bekerja keras untuk menarik golongan peminat generasi sekarang mengenali dan meminati lagu-lagu Slam.

Konsert ini turut ditonton ramai artis lain antaranya Shaheizy Sam dan isterinya Syatilla Melvin serta ibu mereka, Khaty Fauziah, Zizan Razak, Siti Saida Tarudin dan Diddy Hirdy AF.

Ditemui selepas persembahan berakhir, Zamani menyatakan perasaan syukurnya kerana konsert ini berjalan lancar seperti yang dirancang.

“Saya banyak dapat semangat daripada anggota lain kerana sepanjang latihan saya berdepan banyak juga masalah. Tapi mereka sabar dan bagi semangat. Sebetulnya sebelum konsert bermula kami dah tolak perkara lain.

“Masalah yang berlaku sama ada di luar atau di atas pentas tak lagi diambil peduli kerana kami nak fokus sepenuhnya pada persembahan. Tak sangka ramai penonton hadir dan ini cukup membuatkan saya bersemangat untuk berikan persembahan terbaik,” katanya.

Sementara itu, Shah pula mengakui bimbang sekira­nya penonton kurang memberikan sambutan terhadap konsert mereka.

“Takut juga kerana kami dah lama tak beraksi. Tapi apabila muncul saja, mereka dah bagi reaksi yang baik sudah cukup menimbulkan semangat kami. Saya sentiasa berharap agar Slam terus aktif berkarya.

“Seperti kita tahu ahli Slam masih lagi boleh beraksi dan bagi komitmen. Saya sendiri rasa lebih puas bermain dengan kumpulan dan memainkan lagu sendiri. Kami ada perancangan untuk buat konsert bergerak selepas ini tapi bergantung pada situasi.

“Boleh dikatakan Slam bersedia untuk kembali aktif selepas ini. Selepas dua bulan giat berlatih dan dapat semula sentuhan seperti dulu, rugi pula kalau tiada apa-apa selepas ini,” katanya.
Powered by Blogger.