F Siti Nurhaliza, AR Rahman saling mengagumi | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Siti Nurhaliza, AR Rahman saling mengagumi

NAMA AR Rahman sememangnya cukup dikenali di industri Bollywood selaku komposer dan penyanyi yang tampil dengan karya-karya hebat.

Tidak terhad bakatnya di India, AR Rahman juga cukup dikenali di seluruh dunia selepas dia memenangi dua anugerah Oscar atas hasil kerjanya mengubah lagu bagi filem Slumdog Millionaire.

Dan kehadirannya di Malaysia sempena konsertnya di Stadium Merdeka, Sabtu lalu turut mendapat perhatian penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza.

Namun atas tuntutan kerja yang padat, Siti tidak dapat hadir ke konsert beliau dan menyimpan hasrat untuk bertemu AR Rahman.

Bagaimanapun Isnin lalu, impian penyanyi berusia 37 tahun itu menjadi kenyataan apabila AR Rahman meluahkan hasrat untuk berjumpa Siti dan sanggup bertandang ke rumahnya.

“Beberapa hari sebelum konsertnya, Siti ada terpandang poster konsertnya semasa dalam perjalanan ke satu lokasi dan Datuk K (Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa) ada bertanya sama ada mahu pergi atau tidak. Tapi kerana ada urusan lain, jadi Siti menolak.

“Bagaimanapun rupa-rupanya kawan Datuk K kenal baik dengan penganjur konsert AR Rahman dan dalam masa yang sama, AR Rahman juga ada ternampak wajah Siti pada produk Simply Siti di sebuah pusat membeli belah.

“Jadi dia minta bantuan penganjur untuk mempertemukan kami. Kemudian melalui kawan Datuk K, menghubungi Datuk K sendiri dan semalam (Isnin), Siti ada penggambaran dengan Ariani.

“Jadi Datuk K beritahu Siti hanya boleh berada di rumah dan bolehkah AR Rahman datang ke rumah. Beliau bersetuju dan bila Datuk K beritahu Siti, Siti memang terkejut,” katanya ketika ditemui media pada majlis pelancaran produk penjagaan kulit, Luminuos White keluaran SimplySiti di Kota Damansara, kelmarin.

AR Rahman merupakan komposer yang mencipta lagu seperti Dil Se Re, Jai Ho dan banyak lagi.

Tambah Siti, pada pertemuan itu, AR Rahman mencadangkan mereka membuat persembahan bersama penyanyi dari Iran, Sami Yusuf.

“Mungkin disebabkan beliau pernah melihat video nyanyian Siti bersama Sami Yusuf, jadi dicadangkan kami untuk menyanyi bersama suatu hari nanti.

“Buat masa ini, dia banyak mencipta lagu berunsur ketuhanan dan kalau dia tidak cadangkan pun, Siti memang teringin untuk bekerjasama dengan beliau.

“Kami pun sudah bertukar-tukar alamat e-mel, jadi kita lihatlah bagaimana nanti,” katanya yang pernah merakamkan lagu ciptaan AR Rahman berjudul Nenje Ezhu untuk program International Superstar 2015 terbitan Astro, Ogos tahun lalu.

Siti berkata, dia dan AR Rahman ada bertukar-tukar hadiah dan Siti juga menyimpan hasrat untuk melawat bintang itu di India, suatu hari nanti.

“Siti berharap akan ada kerjasama yang terjalin, tapi dalam masa sama, Siti tidak mahu meletakkan harapan tinggi. Kita tunggu dan lihat bagaimana perkembangannya nanti,” katanya.

Lagu Raya Baharu

Dalam pada itu, berkongsi perkembangan terkininya, Siti bakal merakamkan single raya terbaru.

Untuk rekod, kali terakhir Siti tampil dengan single raya adalah menerusi lagu Mekar Hari Raya pada 2006.

“Insya-ALLAH Siti akan memasuki studio dan menyiapkan muzik video lagu Hari Kemenangan sebelum puasa ini.

“Ia merupakan lagu raya terbaru daripada Siti setelah sedekad tidak tampil dengan    lagu raya.

“Lagu ini agak istimewa juga kerana dicipta oleh Pak Ngah,” katanya.

Selain Mekar Hari Raya, antara lagu raya lain yang pernah dinyanyikan Siti termasuklah Sesuci Lebaran, Nazam Lebaran, Suara Takbir, Bila Raya Menjelma, Air Mata Syawal, Nikmat Hari Raya dan Aidilfitri Di Alaf Baru - duet artis SRC.

Tambah Siti, dia juga kini dalam proses merakamkan sebuah album mini yang dijangka dikeluarkan sebelum penghujung tahun ini, sempena ulang tahun ke-20 beliau di dalam industri.

Bagaimanapun, dia kini masih mengumpul material untuk dimuatkan di dalam album itu nanti.
Powered by Blogger.