F Siti Nurhaliza, AR Rahman bakal bekerjasama? | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Siti Nurhaliza, AR Rahman bakal bekerjasama?

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin membayangkan bakal bekerjasama dengan maestro muzik Bollywood, AR Rahman menerusi perkongsian statusnya di Instagram dan Facebook. Biarpun masih samar sama ada penghibur bervokal emas itu mahu merakamkan lagu komposer berkenaan atau berkongsi pentas, Siti meminta peminat mendoakannya dalam kenyataan yang meraih hampir 12,000 likes, malam tadi. "Lagenda muzik ... InsyaAllah akan ada perancangan seterusnya nanti. Doakan saya," katanya yang turut berkongsi gambar mereka di kediamannya, semalam. Sebelum ini, Siti pernah merakam dan mempersembahkan lagu ciptaan Rahman berjudul Nenje Ezhu bagi program International Superstar 2015 terbitan Astro pada Ogos tahun lalu. Terdahulu, menerusi perkongsian gambar sebelumnya, Siti menyatakan impian bersemuka idola yang juga penerima Oscar itu menjadi kenyataan apabila beliau berkunjung ke rumahnya. Keterujaan menerima tetamu istimewa diabadikan dengan memuat naik beberapa keping gambar kenangan yang juga memperlihatkan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa. "Masya Allah, (rasa) hendak pengsan. Idola muzik saya sudi datang ke rumah, AR Rahman. Impian saya menjadi kenyataan. Terima kasih Allah," katanya di kedua-dua laman sosial peribadinya itu. Komposer digelar Mozart of Madras yang juga penggubah lagu Jai Ho untuk filem Slumdog Millionaire ini berada di Kuala Lumpur sempena konsertnya di Stadium Merdeka, Sabtu lalu. Sejak kedatangan kali pertama ke Malaysia pada 1996, AR Rahman sudah beberapa kali diterbangkan ke Malaysia. Malah, persembahan meganya minggu lalu menyaksikan kehadiran kira-kira 20,000 penonton. Selain Oscar yang menjadi rebutan karyawan seni di Anugerah Academy, nama yang tersohor di pentas antarabangsa itu pernah membawa pulang trofi Grammy, Golden Globe serta British Academy of Film and Television Arts (BAFTA).


Powered by Blogger.