F Siapa bakal juara Ikon Siarawan 2016? | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Siapa bakal juara Ikon Siarawan 2016?

SEBAGAI sebuah stesen televisyen tertua di negara ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) terus komited melahirkan bakat baharu dalam industri penyiaran tanah air.

Atas dasar itu, RTM tampil dengan idea menerbitkan Ikon Siarawan bermatlamat untuk mencungkil bakat siarawan yang terpendam dalam kalangan anak muda tempatan tanpa mengira bangsa.

Kini, memasuki musim ketiga penganjurannya atau Ikon Siarawan 2016 meletakkan objektif untuk membentuk kerjaya generasi muda sebagai ikon yang berketrampilan, berpengetahuan luas dan serba boleh.

Timbalan Ketua Pengarah (Penyiaran Strategik) RTM, Datuk Adilah Shek Omar berkata, antara ciri-ciri seorang Ikon Siarawan adalah bagaimana ikon itu meneroka kemungkinan dunia penyiaran seterusnya merentasi keterbatasan diri.

“Ciri-ciri itu dilihat menerusi cara mereka menghadapi cabaran global dalam menempuhi era penyiaran digital.

“Sepanjang lima bulan, setiap peserta di dalam program ini didedahkan dengan pelbagai ilmu dan latihan yang menjadikan mereka sebagai ikon atau ‘frontliner’ untuk RTM.

“Jadi, inilah yang akan ‘memandu’ harapan RTM kelak,” katanya pada sidang media Malam Anugerah Ikon Siarawan 2016, baru-baru ini.

Malam Anugerah Ikon Siarawan 2016 bakal menyaksikan keupayaan lima finalis bersaing dalam menguji keupayaan berfikir, kepetahan berbicara, keyakinan diri dan personaliti yang menarik.

Lima finalis yang bakal merebut gelaran juara Ikon Siarawan 2016 ialah Andy Reza Rohadian Khairul Anwar, 23, dari Ampang, Selangor; Doria Rachel Jolly, 28 (Miri, Sarawak); Nur Jaziedah Zulkifli, 28 (Segamat, Johor); Siti Balqis Elias, 26 (Nilai, Negeri Sembilan) dan Syafik Shukri Abd Jalil, 26 (Kuching, Sarawak).

Bakal kendali program baharu

Penolong Pengarah Unit Hiburan TV RTM, Saifulzaman Yusoff  berkata,  demi memberi kelainan, pelbagai kelainan akan ditampilkan pada pentas akhir Malam Anugerah Ikon Siarawan 2016.

Katanya, setiap finalis akan menyampaikan tiga tugasan dalam tiga segmen yang berbeza iaitu Debat Khas, Bual Bicara Misteri dan Ujian IQ.

“Segmen pertama akan memperlihatkan keupayaan finalis berdebat dan mengeluarkan hujah-hujah yang berwibawa.

“Segmen kedua pula lebih kepada mengupas isu yang dipaparkan bersama-sama tetamu misteri. Kita akan memperkenalkan tetamu apabila finalis sudah bersedia dan topik yang diberikan juga adalah secara spontan.

“Bagi segmen ketiga, kita akan mengadakan kuiz bagi menguji minda dan keterbukaan finalis dalam meneroka pelbagai kemungkinan menerusi keterbatasan yang ada pada diri sepanjang lima bulan mereka berada di dalam program ini,” katanya.

Sama seperti sebelum ini, kata Saifulzaman, setiap finalis akan dinilai berdasarkan sistem penjurian profesional sepenuhnya.

“Duri juri tetap ialah Datin Yusanani Yushak dan Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar serta seorang lagi juri jemputan yang diumumkan nanti.

“Penjurian dibuat berdasarkan persembahan, laporan, kebolehan dan keterampilan dalam setiap tugasan,” jelasnya.

Menariknya lagi, katanya, finalis yang dinobatkan juara Ikon Siarawan 2016  akan diberi peluang mengendalikan program baharu terbitan RTM yang dijangka bersiaran selewat-lewatnya Ogos ini.

“Sebenarnya, sebelum uji bakat program ini, kita telah menggariskan apa hala tuju mereka.

“Apa yang boleh kita cakap, juara bakal mengendalikan satu program baharu kelak. Apakah nama program itu, ia akan diberitahu pada malam akhir nanti.

“Begitu juga bagi peserta lain, semuanya akan diumumkan pada malam itu,” katanya.

Selain itu, juara juga akan membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 sementara naib juara (RM15,000) dan tempat ketiga (RM10,000) manakala pemenang tempat keempat dan kelima masing-masing akan mendapat hadiah RM5,000.

Pentas akhir Malam Anugerah Ikon Siarawan 2016 akan diadakan pada 14 Mei ini, di Auditorium Perdana, Angkasapuri dan diacarakan oleh pelakon, Farish Aziz.

Ia juga akan dipancarkan secara langsung di saluran TV2 mulai jam 9.05 malam.
Powered by Blogger.