F Sentuhan magis Melly Goeslaw | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Sentuhan magis Melly Goeslaw

SETIAP sentuhan Melly Goeslaw dalam menghasilkan bait-bait lirik lagu pasti meninggalkan kesan yang mendalam terhadap karya yang diciptakan.

Disuntik pula dengan susunan muzik yang  segar dan dramatis oleh suaminya Anto Hoed menjadikan karya yang terhasil lebih sempurna.

Kolaborasi itu tidak pernah mengecewakan apatah lagi vokal yang dilontarkan Melly dalam setiap lagunya tidak tertanding.

Seakan memiliki magis, lagu-lagu yang dicipta khas oleh Melly untuk dijadikan runut bunyi juga mampu mewarnai dan menjadikan filem lebih berkesan kepada penontonnya.

Tidak hairanlah mengapa dia digelar sebagai ratu runut bunyi.

“Gelaran itu adalah daripada masyarakat dan saya sendiri tidak pernah terfikir perkara seperti itu.

“Bagi saya apa pun pekerjaan yang harus dilakukan, saya sentiasa lakukannya dengan baik kerana itu adalah rezeki daripada ALLAH,” katanya ketika majlis pelancaran album OST Ada Apa Dengan Cinta (AADC) 2, baru-baru ini.

Kata Melly, selain dianugerahi Tuhan, idea penulisannya tercetus daripada kehidupan hariannya.

“Sudah tentu idea datang daripada Dia dan selebihnya adalah dari apa yang saya rasa, lihat dan dengar dalam kehidupan harian,” katanya.

Dari segi penjagaan vokal pula, Melly mengakui masih menjalani latihan vokal biarpun dia antara penyanyi yang lebih berpengalaman.

“Kalau ada projek yang besar seperti konsert atau rakaman lagu, saya masih memerlukan latihan vokal supaya otot vokal boleh dilenturkan.

“Bila pita suara dilatih, jadi saya tidak ada pantang larangnya dari segi pemakanan. Cuma pada masa yang sama saya harus cukup rehat,” katanya.

Kekal positif

Mengulas lebih lanjut mengenai pembikinan album OST AADC 2, Melly mengakui terlalu menyukai filem tersebut sekali gus ia memudahkannya untuk hasilkan lagu-lagu yang baik untuk dijadikan runut bunyi.

“Saya sangat suka dengan senario filem itu sehinggakan saya rasa seperti saya sendiri yang hasilkannya.

“Perasaan itu secara tidak langsung memudahkan saya memasuki dunia AADC untuk hasilkan lagu-lagu yang ada di dalam album ini,” katanya.

Tidak hanya menerima pujian, OST yang dicipta Melly tidak terlepas daripada kritikan apabila terdapat sesetengah pihak berpendapat ia tidak setanding hasil yang pertama.

“Kritikan itu ada negatif dan positifnya. Bagi saya, karya yang bagus harus memiliki keduanya.

“Malah saya anggap mereka yang tidak suka itu adalah golongan yang lebih memerhatikan daripada yang suka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, pelantun Gantung itu bakal kembali dengan band pertamanya Potret dalam projek khas mereka selain bakal sibuk dengan promosi OST filem Jilbab Traveler dan Rudy Habibie.
Powered by Blogger.